PENDAFTARAN HAJI TAHUN 1442 HIJRIYYAH
Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal
Ehwal Ugama, sukacita memaklumkan kepada orang ramai bahawa penjualan borang
dan pendaftaran haji akan bermula pada hari Khamis, 05 Rabiulawal 1442H
bersamaan 22 Oktober 2020M, jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan sebelah petang
jam 2.00 petang hingga 3.30 petang pada hari-hari bekerja sahaja.
Manakala tarikh tutup pendaftaran pada
hari Khamis, 07 Jamadilakhir 1442H bersamaan 21 Januari 2021M.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang
berhasrat untuk mendaftar bolehlah mendapatkan borang pendaftaran haji dengan
harga $2.00 (Dua Ringgit) pada tarikh yang tersebut di atas di pusat-pusat
pendaftaran seperti berikut:
1. Ruang Legar, Lantai Bawah, Bangunan
Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei
Darussalam.
2. Pejabat Hal Ehwal Ugama di Daerah
Belait, Tutong dan Temburong Adalah dimaklumkan juga bahawa pemohon-pemohon
yang mendaftar haji tahun 1442 Hijriyyah adalah diletakkan dalam senarai
menunggu.
Sukacita juga dinasihatkan kepada orang
ramai yang hadir untuk mendapatkan borang pendaftaran dan seterusnya mendaftar
haji supaya dapat mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian
Kesihatan iaitu dengan mendaftar masuk menggunakan aplikasi ‘BruHealth’ dan
mengimbas kod QR sebelum masuk ke pusat-pusat pendaftaran, mengamalkan
penjarakan sosial (social distancing), memakai sungkup muka (face mask), hendaklah
dalam keadaan yang sihat dan tidak digalakkan hadir jika berada dalam keadaan kurang
sihat serta sentiasa menjaga kebersihan dengan mencuci tangan atau menggunakan gel
pensanitasi tangan (hand sanitizer).