BERAKAS, SELASA 28hb. Jamadilawal 1442H
bersamaan 12hb. Januari 2021M-Berlangsung Multaqa Da’ie Bersama Mufti
di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah, Kampong Pulaie.
Hadir selaku Penceramah Khas Majlis
tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia
Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei
Darussalam.

Turut hadir Yang Berhormat Pehin Udana
Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato
Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka
Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Dato
Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan;
Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal
Ehwal Ugama; Dr Haji Adanan bin Haji Basar, Raes KUPU SB; Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, Timbalan
Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong
Mufti (Buhuth); Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah, Pemangku Penolong Mufti
(Ifta’); dan Dr Haji Mohammed Husain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Pemangku
Rektor UNISSA.
Dalam usaha mempertajamkan da’wah, Pusat Da’wah
Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Da’wah telah merancang beberapa program,
di antara program berkenaan ialah Multaqa Da’ie Bersama Mufti, yang memfokuskan
dalam pemerkasaan para da’ie dengan kaedah-kaedah da’wah berkesan bagi
menghadapi pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.
Antara lain, bagi menjunjung hasrat Titah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu’izzaddien Waddaulah iaitu bagi melahirkan penceramah-penceramah tempatan
yang berkaliber.
Objektif program ini diadakan untuk
memberikan suntikan semangat kepada pegawai-pegawai Pusat Da’wah Islamiah untuk
menghadapi cabaran da’wah masa kini, menyediakan wadah para da’ie untuk
bersemuka dengan Yang Berhormat Pehin Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam
dalam menimba ilmu serta memantapkan kredibiliti pegawai-pegawai Pusat Da’wah
Islamiah dan da’ie-da’ie yang berkecimpung dalam arena da’wah.
Peserta Program terdiri daripada
imam-imam, pensyarah-pensyarah UNISSA, KUPU SB, pegawai-pegawai di bawah
Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, guru-guru ugama,
da’ie-da’ie bertauliah, belia-belia da’ie, belia-belia syahadah, kumpulan
Al-Minhaaj Centre serta pesara kerajaan yang masih aktif di dalam da’wah.
Multaqa Da’ie Bersama Mufti dimulakan
dengan bacaan Sayyidul Istighfar, surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan
oleh Awang Muhammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da’wah Islamiah,
dan seterusnya ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Haji Abd. Rajid bin Haji
Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da’wah Islamiah dan diikuti dengan Ceramah Khas
yang bertajuk: Melahirkan Da’ie Berkaliber yang disampaikan oleh Yang Berhormat
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz
bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.
Antara pengisian ceramah khas yang
disampaikan ialah konsep da’wah mesti berterusan dan tidak boleh berhenti
kerana naluri manusia memerlukan da’wah, adapun tugas da’wah, bukanlah tugas
yang khusus untuk nabi sahaja, bahkan untuk semua pihak yang berkewajipan untuk
menyeru kepada kebaikan. Yang Berhormat Pehin menekankan mengenai da’wah bil
lisan, kerana ia adalah yang lebih diperlukan pada masa ini mengikut fenomena
dan peredaran masa. Ada tiga pendekatan yang berkesan yang digariskan oleh Yang
Berhormat Pehin, antaranya ialah; memastikan kandungan isi da’wah yang
disampaikan benar-benar diperlukan oleh masyarakat; kedua penampilan yang
selayaknya perlu ada, dan ketiga, pastikan cara penyampaian adalah benar-benar
menarik. Dengan adanya ketiga-tiga pendekatan ini, menurut Yang Berhormat
Pehin, tidak ada sebab untuk menjadikan da’wah lemah dan tidak berkesan.
Multaqa Da’ie Bersama Mufti ini
diharapkan dapat mendatangkan manfaat bagi meningkatkan kualiti penyampaian
ceramah di Negara ini dan dengannya da’wah di Negara ini akan bergerak lebih
maju seiring dengan keperluan semasa.




