Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-5 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Negara Brunei Darussalam Tahun 1437 Hijrah / 2015 Masihi

TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-5
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA)
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1437 HIJRAH / 2015 MASIHI

PADA HARI SABTU
04 MUHARRAM 1437 / 17 OKTOBER 2015

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua, dapatlah kita berkumpul dalam Majlis Haflut Takharruj Ke-5 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka masing-masing. 

Dengan lahirnya para graduan UNISSA ini, maka bertambahlah lagi sumber tenaga manusia yang memiliki pengetahuan ugama. Ini pada hemat Beta, adalah amat mustahak untuk menjamin survival ugama dan negara, kerana merekalah pengimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, khasnya dalam kalangan tenaga kerja manusia. Oleh itu adalah amat penting bagi pelajar-pelajar UNISSA dilengkapi dengan pendidikan ugama yang mantap sebagai benteng menghadapi era globalisasi yang serba mencabar, agar tidak terumbang ambing dan mudah diseret oleh arus perubahan.

Semua pihak perlu berwaspada, khasnya UNISSA, selaku tonggak ketamadunan Islam di negara ini, agar jangan mengabaikan setiap perkembangan yang menyentuh    hal-hal ugama, baik ia berlaku di dalam mahupun yang datang daripada luar. 

Atas nama ugama, orang suka membawa isu-isu baru, misalnya, untuk menyangkal sesuatu perkara itu sebagai tidak ada dalam ugama atau ianya tidak pernah disebut dan dibuat oleh Nabi, maka disarankanlah supaya ianya dibuang atau tidak payah dipakai lagi. 

Beta melihat, pendapat seperti ini datangnya daripada orang-orang baru, yang kadang-kadang imej mereka adalah imej ulama, tetapi tidak beretika dengan etika ulama. 

Ulama muktabar tidaklah secelupar itu. Mereka masih saja terikat untuk menghargai apa-apa yang baik, walaupun bukan dari hadiths. Kerana itu mereka menyediakan dua kaedah atau sistem nilai: pertama, mana-mana perkara buruk yang tidak ada dalam hadits, perkara tersebut akan dikategorikan sebagai “bid’ah sayyi’ah” (perkara baru yang buruk yang sayugia jangan dilakukan), dan kedua, mana-mana perkara baik walaupun ia bukan dari hadits, maka perkara itu akan dikategorikan sebagai “bid’ah hasanah”  (perkara baru yang baik dan malah jika dibuat boleh mendatangkan pahala). 

Kaedah ulama muktabar yang cantik dan sempurna ini, Beta ingin tegaskan, hendaklah dipegang dan dipakai terus oleh UNISSA dan lain-lain pihak di negara ini. Adapun kaedah-kaedah baru yang berlawanan dengan kaedah para ulama muktabar adalah tidak berkenaan dengan kita. 

Mengenai penyediaan pelajar-pelajar pula adalah perlu untuk mengambil kira faktor kebolehpasaran atau marketability para graduan, sehingga mereka mampu bersaing dalam dunai pekerjaan yang semakin kompetatif. Sehubungan ini, Beta ingin mengetahui sama ada sejauh ini pihak UNISSA ada menjalankan kajiselidik untuk mengetahui kebolehpasaran atau marketability para graduannya? Di manakah mereka itu sedang berkhidmat dan apakah maklumbalas dari para majikan mengenainya? 

Menyentuh mengenai kegemilangan Islam, UNISSA mempunyai potensi untuk menjadi institusi pengajian tinggi Islam tulen yang unggul di arena antarabangsa. Beta ingin melihat UNISSA bergerak cepat  dalam memantapkan profil penyelidikannya. Beta percaya jika kedua-dua aspek, pengajaran dan penyelidikan dimantapkan, UNISSA akan melonjak selaku sebuah universiti Islam ternama di dunia. 

Beta difahamkan, pada masa inipun, UNISSA telah mula menjadi tarikan kepada pelajar-pelajar antarabangsa, khususnya dari rantau Asia Tenggara. UNISSA dipilih sebagai destinasi untuk mengikuti pengajian Islam dan bahasa Arab, sama ada program jangka pendek mahupun jangka panjang. 

Ini adalah ciri dari kehebatan UNISSA.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan para graduan dan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada para ibu bapa dan penjaga atas sokongan dan pengorbanan mereka sehingga membawa kejayaan kepada para graduan. Di samping itu, Beta juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua warga UNISSA, yang merangkumi ahli-ahli Majlis, Senat Universiti, Rektor, Pegawai-pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai  serta kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga usaha yang murni ini sentiasa diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat rahmat daripada-Nya. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments