Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Majlis Bersama Rakyat Dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Di United Kingdom Dan Ireland Utara

TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

BERSEMPEN​A
MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND UTARA

PADA HARI AHAD
1 HB RABIULAWAL 1437
13 HB DISEMBER 2015

BERTEMPAT
HOTEL HILTON ON PARK LANE
LONDON, UNITED KINGDOM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, penuntut, pegawai kerajaan dan mereka yang sedang dalam percutian bersama keluarga.

Menerusi perjumpaan ini, membukakan peluang bagi Beta untuk mengetahui secara lebih dekat perkembangan para pelajar di sini, terutama mengenai kemajuan dan susah-senang yang sedang mereka lalui.

Ini penting, bagi memastikan para pelajar adalah tidak ke mana-mana, melainkan semata-mata bulat kepada pengajian sahaja, bukan kepada yang lain-lain.

Khusus dalam era hari ini, macam-macam perkara boleh berlaku, yang boleh memalingkan seseorang daripada tanggungjawabnya kepada sesuatu yang tidak berfaedah lagi merugikan.

Kewajipan para pelajar tidak ada dua tiga, melainkan cuma satu sahaja, iaitu untuk belajar dan lulus dalam pengajian.

Mereka perlu sedar, bahawa mereka adalah aset negara, dan selaku aset, mereka tidak boleh cacat atau susut nilai. Jika aset cacat atau susut nilai, maka itu, bukan lagi bernama aset.

Para pelajar mesti memahami ini. Mereka mesti betul-betul faham akan kedudukan “sistem nilai”. Kita berada di negara orang lain adalah semata-mata untuk mengambil ilmu, bukan untuk mengambil budaya atau cara hidup mereka.

Inilah cara yang betul bagaimana kita memelihara dan mempertahankan sistem nilai kita.

Untuk lebih menjelaskan lagi mengenai dengan sistem nilai ini, kita sekarang alhamdulillah, sedang diberkati oleh Allah dengan sistem Pemerintahan Melayu Islam Beraja (MIB).

MIB inilah sistem nilai kita. Dimanapun kita berada, MIB tetap bersama-sama dengan kita. Janganlah ia di sembaranakan. Menyembaranakan MIB bererti menyembaranakan sistem nilai kita.

Tunjang MIB ialah ajaran Islam tulen. Jangan kita berganjak dari ajaran ini. Peganglah ia kuat-kuat tanpa perlu menoleh atau melihat ke mana-mana lagi.

Inilah warisan turun temurun, kita mesti berbangga dengannya.

Awas! Dunia sekarang ini macam-macam ada, termasuk ramai penjaja-penjaja ajaran dan ideologi, dengan cara yang pelbagai. Ada dengan cara tulisan, dan tidak kurang juga melalui lisan.
 
Fokus atau sasaran mereka ialah masyarakat, khasnya para belia dan pelajar. Moto mereka yang popular ialah “pembaharuan”. Mereka mengajak untuk berubah sambil menolak yang lama, dengan alasan, yang lama itu sudah tidak sesuai lagi dengan zaman.

Beta mengingatkan kepada para pelajar khasnya dan masyarakat amnya, supaya jangan cepat-cepat terpengaruh atau termakan “gula-gula” mereka yang beracun itu, tetapi pergilah merujuk kepada pihak-pihak berautoriti untuk mendapatkan penerangan atau kepastian yang sebenar-benarnya.

Mengambil peluang di sini, Beta sukacita mengucapkan tahniah kepada 2 orang pelajar yang terpilih di bawah Skim Biasiswa “The Chancellor’s Scholar” Universiti Brunei Darussalam Sesi 2015/2016 dalam pengajian peringkat PhD di institusi terkemuka di dunia.

Beta berharap, penerima-penerima anugerah ini akan terus fokus kepada matlamat mereka selaku pelajar, disamping tidak lupa untuk memelihara jati diri mereka selaku orang Brunei, dan buktikan, bahawa mereka juga mampu untuk melakar kejayaan dan kecemerlangan di dalam bidang mereka masing-masing.

Untuk akhirnya, Beta turut mendo’akan semoga para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini, akan sama-sama berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing serta beroleh kesejahteraan dan keselamatan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Attachments