Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM di Majlis Haflut Takharruj Ke-7 Universiti Islam Sultan Sharif Ali bagi Tahun 1439H/2017M

‚ÄčTITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


DI MAJLIS
HAFLUT TAKHARRUJ KE-7 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
BAGI TAHUN 1439H/2017M

PADA HARI ISNIN
25 MUHARRAM 1439 / 16 OKTOBER 2017

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berhimpun di Majlis Haflut Takharruj kali ke-7, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Mula-mula Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Begitu juga, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah di atas pengorbanan mereka, sehingga mampu untuk melahirkan para graduan yang berjaya.

Seperti sama-sama dimaklumi, UNISSA pada tahun ini meraikan usianya yang ke sepuluh tahun. Sepanjang tempoh berkenaan UNISSA telah meraih banyak pencapaian sebagaimana dihasratkan.

Sesuai dengan usianya yang semakin matang, Beta berharap, UNISSA akan terus menyerlah selaku mercu tanda kegemilangan Islam di negara ini. Ini bermakna UNISSA perlu, untuk terus berkembang sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa.

Maka sehubungan ini, Beta gembira mengetahui bahawa Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat UNISSA telah memulakan operasinya. Beta melihat, pusat ini mampu untuk jadi pemangkin kepada pengayaan ilmu dan pemerkasaan kemahiran semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia.

Disamping itu, pusat ini juga tentu berupaya untuk memantapkan lagi profesionalisme para penjawat awam dengan menawarkan pelbagai kursus kepada mereka.

Disini, UNISSA perlu menyediakan pelan tindakan yang bersesuaian dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Untuk itu, Beta menyambut baik inisiatif UNISSA dalam meningkatkan kualiti pengajian, penyelidikan  dan urus tadbir serta penawaran program dan kursus-kursus baru yang bersesuaian.

Beta optimis dengan perkembangan ini, ditambah lagi dengan kestabilan sosiopolitik negara, akan menjadikan UNISSA lebih berpotensi untuk menarik lebih ramai lagi pelajar dari dalam dan luar negara, dan sekali gus menjadikan UNISSA sebagai hab pusat pengajian Islam di rantau ini.

Ikhtiar ke arah ini tidak syak lagi akan membuka peluang lebih luas untuk meningkatkan kebolehpasaran lulusan UNISSA. Sesungguhnya dengan pendedahan kepada pelbagai bidang ilmu dan kemahiran, pelajar UNISSA juga mampu untuk menjadi lulusan yang serba boleh, yang boleh berkhidmat di pelbagai sektor, termasuk juga menjadi usahawan yang berjaya.

Faktor inilah yang menjadikan UNISSA semakin dikenali di peringkat global serta menjadi idaman ramai pelajar-pelajar serantau dan antarabangsa untuk menjadikannya tempat pengajian mereka. Peningkatan kemasukan dan permohonan pelajar-pelajar antarabangsa pada setiap tahun ke UNISSA adalah petanda, bahawa UNISSA mempunyai keistimewaan tersendiri di mata luar. Beta turut mendokong usaha UNSSA untuk menarik balik lebih ramai pelajar antarabangsa bagi melanjutkan pengajian mereka di UNISSA sebagai salah satu sumbangan Kerajaan Beta kepada pembangunan ummah sejagat.

Akhirnya, Beta mengambil peluang untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Rektor, Pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments