Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

ADAB DAN ETIKA DALAM SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung disisi Allah Subhanahu Wata'ala. Ia merupakan hari yang sangat istimewa bagi umat Islam, hari yang penuh dengan keberkatan serta kemuliaan dan juga hari untuk melipat gandakan amal ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Jumuah ayat 9:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا۟ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا۟ الْبَيْعَ ۚ ذٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

صدق الله العظيم

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka pergilah kamu ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika benar kamu mengetahui”

Sesungguhnya sembahyang fardhu Jumaat merupakan perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Antara manfaat tersebut adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, menerima nasihat dan tunjuk ajar, meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta mengambil pengajaran dan iktibar daripada khutbah. Dengan hadir ke masjid untuk menunaikan sembahyang fardhu Jumaat juga kita dapat saling kenal-mengenali, dapat menyatu-padukan dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama jiran dan masyarakat berbagai bangsa. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

عن أبى الجعد الضمرى قال: قال انبى صلى الله عليه وسلم: من ترك الجمعة ثلاث مرات تهاونا بها طبع على قلبه.

{رواه الإمام إبن ماجة}

Maksudnya:

Daripada Ibni Ja’di Dhamri katanya, bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam: Barangsiapa secara mudah meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah Subhanahu Wata'ala akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Setiap amal ibadah yang dilakukan mempunyai tata tertib atau adab-adabnya tersendiri. Begitu juga dengan sembahyang Jumaat , dengan menyempurnakan adab tersebut, kita akan beroleh pahala dan ibadah kita menjadi lebih sempurna. Antara adab-adab tersebut ialah sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi sunat Jumaat terlebih dahulu, memakai wangi-wangian. Kita disunatkan datang awal ke masjid dan mendapatkan saf yang pertama atau saf yang paling hadapan dan mengisi masa di dalam masjid dengan beriktiqaf, membaca Al-Qur’an, berzikir, mengerjakan sembahyang sunat dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam.

Dalam cara berpakaian, sudah tentu pakaian tersebut hendaklah terbaik dan bersih dan hindarkanlah dari memakai pakaian yang mempunyai corak, gambar-gambar atau mengandungi perkataan-perkataan kerana ia boleh menganggu kekhusyukan jemaah lain untuk beribadah. Islam telahpun memberi garis panduan atau etika berpakaian semasa menunaikan sembahyang iaitu menutup aurat dan bersih.

Ketika khatib menyampaikan khutbah, kita hendaklah diam dan mendengarkan isi kandungan khutbah serta menumpukan perhatian yang sepenuhnya. Sesungguhnya sikap tidak menumpukan perhatian ketika khutbah disampaikan adalah sikap yang sangat buruk. Mendengar khutbah merupakan suatu kemestian bahkan kita dilarang melakukan ibadah sunat seperti berzikir atau membaca Al-Qur’an ketika khatib sedang berkhutbah, apatah lagi membuat perkara yang sia-sia seperti tidur, mengunakan atau bermain telefon bimbit. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

عن أبي هريره قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من توضأ فأحسن الوضوء ثم أتى الجمعة فاستمع وأنصت غفر له ما بينه وبين الجمعة وزيادة ثلاثة أيام ومن مس الحصى فقد لغا {رواه الإمام مسلم}

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat, lalu mendengar khutbah dan tidak bercakap ketika khutbah dibacakan, maka diampuni dosa-dosanya yang ada antara hari Jumaat itu dengan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah dibacakan, maka ia telah berbuat sia-sia.

Memang tidak dinafikan terdapat juga beberapa jemaah kurang memberikan tumpuan terhadap khutbah yang disampaikan, ada yang leka bercerita, bergurau-senda, bahkan terdapat juga jemaah yang mendengar khutbah di dalam kerita sahaja, ada pula yang tidak sempat mendengar khutbah kerana lambat hadir ke masjid. Selain itu, terdapat juga kanak-kanak yang berkeliaran dan membuat bising ketika khutbah disampaikan. Oleh itu, ibubapa atau penjaga hendaklah memainkan peranan penting untuk mengawasi dan memata-matai anak-anak mereka supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menganggu kekhusyukan para jemaah lain untuk beribadah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama menjaga adab-adab dan etika dalam menunaikan sembahyang fardhu Jumaat. Manfaatkan dan rebutlah peluang beramal ibadah pada hari Jumaat yang hanya datang sekali dalam seminggu, semoga dengannya juga kita dapat mempertingkatkan amal ibadah kita dari semasa ke semasa. Mudah-mudahan dengan adab dan etika yang kita amalkan, kita akan mendapat kesempurnaan dalam ibadah dan mudah-mudahan ibadah kita lakukan mendapat rahmat dan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Mukminun ayat 1-3:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ(1)الَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خٰشِعُونَ(2)وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ(3)

صدق الله العظيم

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusuk dalam sembahyang mereka dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia”

Attachments