Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

BERTANGGUNGJAWAB DALAM MENGUNAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT KOMUNIKASI

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia serta di akhirat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At-Tin ayat 4:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِىٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٍ۬

صدق الله العظيم

“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian iaitu dengan menganugerahkan mereka dengan akal fikiran. Dengan akal fikiran itu, manusia dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah dan antara yang baik dengan yang buruk. Dengan akal fikiran juga manusia dapat mempertingkatkan diri dan mampu mencapai pelbagai kemajuan antaranya mencipta peralatan-peralatan komunikasi.

Dengan terciptanya alat komunikasi untuk berhubung seperti komputer dan telefon bimbit melalui internet, Whatsapp, Instagram, Twitter dan sebagainya, kita dapat menerima, melihat dan mendengar maklumat yang disebarkan dalam sekelip mata sahaja. Ia juga memudahkan kita untuk berkongsi maklumat, dan berita tersebut kemana sahaja dengan cepat dan pantas sehingga kadangkala kita terlupa untuk menapis dan memastikan terlebih dahulu kesahihannya.

Ketahuilah, dunia kini sinonim dengan perkataan tular dan viral. Media sosial dan media baharu menjadi media bagi para penguna memviralkan, menularkan dan menyebarkan berita dengan begitu cepat dan meluas sama ada dalam bentuk cerita, berita, video mahupun gambar. Kini ramai orang mahu menjadi antara orang yang terawal dan paling cepat berkongsi atau menyibarkan sesuatu perkara, maklumat dan berita. Namun apa yang membimbangkan, berita atau maklumat tersebut dikongsi tanpa menyelidiki terlebih dahulu kesahihannya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sama-samalah kita mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati, supaya jangan sampai setiap perkara, maklumat, berita atau perkhabaran yang diperolehi tanpa sebarang asas atau bukti yang kukuh itu ditular dan diviralkan tanpa usul periksa atau tabaiun iaitu menyelidiki dan menyiasat kesahihannya. Semuanya itu boleh mengundang kepada fitnah, bala bencana, permusuhan, perselisihan dan sebagainya. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat.

Sebagai manusia biasa, kadangkala kita mudah alpa akan panduan dan batas-batas yang digariskan oleh agama Islam. Kita terlupa akan dosa dan pahala sehingga ada terdapat segelintir individu yang mengunakan media sosial dan media baharu sebagai medan atau tempat untuk menabur fitnah dan berniat jahat untuk menjatuhkan maruah atau mendedahkan keaiban seseorang dengan mencipta atau mereka-reka sesuatu perkara yang tidak wujud dan tidak benar. Daripada Abdul Rahman bin Ghanmin Radiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menebur fitnah, mereka yang melaga-lagakan antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah.

Selain itu, penabur fitnah juga tidak akan masuk ke dalam syurga sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Huzaifah Radiallahu Anhu bahawa dia mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Penebur fitnah tidak akan masuk syurga.

Ingatlah, kita sentiasa bertanggungjawab ke atas setiap perkara yang kita sebarkan atau sampaikan agar ia tidak mendatangkan sebarang pendustaan atau pembohongan. Selain itu, walaupun maklumat yang tidak kita sampaikan itu adalah sesuatu yang sahih dan benar akan tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh mengundang kepada pelbagai andaian, pandangan atau persepsi yang negatif. Dalam hal ini, adalah lebih baik bagi kita untuk merahsiakan atau berdiam diri sahaja bagi menghindari perbalahan dan kekacauan dalam kalangan keluarga, masyarakat dan negara. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam juga telah mengajarkan umatnya bahawa menutupi keaiban saudara Islam kita itu adalah lebih baik dan lebih utama. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa yang meringankan (menghilangkan) kesulitan seorang muslim daripada kesulitan-kesulitan duniawi, maka Allah akan meringankan (menghilangkan) baginya kesulitan di akhirat kelak. Barangsiapa yang memberikan kemudahan bagi orang yang mengalami kesulitan dunia, maka Allah akan memudahkan baginya kemudahan (urusan) di dunia dan di akhirat. Dan barangsiapa yang menutupi aib seorang muslim sewaktu di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah akan sentiasa menolong seorang hamba yang selalu menolong saudaranya.

Dalam hal ini, orang ramai juga diingatkan untuk tidak turut menyebar luaskan sebarang berita atau maklumat yang tidak berasas, dan perbuatan menyebarkan maklumat atau berita yang tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka-reka merupakan satu kesalahan atau berdosa besar. Akta menyebarkan maklumat palsu kepada orang awam merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam mengikut seksyen 34 akta ketenteraman awam penggal 148 yang boleh membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda sebanyak tiga ribu ringgit, jika sabit kesalahan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Teknologi maklumat komunikasi pada dasarnya adalah untuk memberi keselesaan dan memudahkan sesuatu perkara dan urusan. Oleh itu, jika ia digunakan dengan niat yang betul maka ia akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup, akan tetapi jika disalahguna maka ia akan membawa kepada perkara yang sia-sia, merugikan dan boleh mengundang bencana dan perbalahan kepada bangsa, masyarakat mahupun negara.

Ketahuilah, pada setiap tahun di negara kita juga tidak ketinggalan mengadakan Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia, tujuan utama sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kegunaan internet dan teknologi maklumat komunikasi (ICT) bagi manfaat masyarakat dan juga ekonomi di samping ia juga digunakan untuk membentuk orang ramai dalam memperkaya kehidupan melalui pembaikan dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan, pembelajaran, kewangan, pertanian, pengangkutan dan berbagai perkhidmatan lain.

Baru-baru ini pada 15 Julai 2019 Masihi yang lalu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Baginda telah bertitah memperkenan penubuhan Majlis Ekonomi Digital untuk meneroka potensi ekonomi digital yang kreatif bagi tujuan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Smart Nation. Antara lain baginda juga menekankan bahawa semua negara tidak terkecuali Brunei Darussalam berada dalam zaman yang serba mencabar.

Cabaran ini pula pelbagai, perlu dihadapi dengan cara masing-masing. Cabaran dalaman bagi negara kita ialah memastikan hidup rakyat dan penduduk dapat diwujudkan melalui pelbagai rancangan, seperti rancangan memberikan perkhidmatan yang baik, penyediaan prasana, yang merangkumi banyak bidang, seperti kesihatan, pendidikan, perundangan, pembangunan, perhubungan dan lain-lain. Semua ini dihasratkan untuk menjamin kehidupan yang berkualiti. Kehidupan berkualiti adalah merupakan hak bagi rakyat untuk menikmatinya. Demikian baginda bertitah.

Akhirnya, dalam pengguna teknologi maklumat komunikasi, kita sebagai pengguna hendaklah sentiasa bertanggungjawab menggunakannya dengan bijaksana dan dalam perkara yang bermanfaat dan bukan pada perkara yang sia-sia. Elakkanlah dari terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat seperti melemparkan tuduhan, menyebarkan fitnah dan seumpamanya. Ingatlah, bahawa setiap apa yang telah kita sebarkan pasti akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melindungi dan menyelamatkan kita, keluarga, bangsa dan Negara Brunei Darussalam ini dari segala perkara yang keji dan munkar. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Hujurat ayat 6:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ

صدق الله العظيم

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita (maklumat), maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu mestilah perbuatanmu itu.”

Attachments