Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

AMALAN YANG MEMBUKAKAN PINTU REZEKI

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita bertaqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya iaitu mentaati Allah dan rasulNya. Berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an dan mengikuti sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya, selamat dan bahagia di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama kita menyeru umatnya agar sentiasa mempertingkatkan usaha dalam mengerjakan amal ibadah dan membuat amal kebajikan. Namun yang demikian, agama Islam juga tidak melarang umatnya mencari kenikmatan dunia dengan cara yang baik seperti mencari rezeki. Daripada Jabar bin Abdullah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam besabda: Bertaqwalah kepada Allah, dan ambil jalan yang baik dalam mencari rezeki. (Hadis Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah).

Setiap rezeki manusia itu sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'alaketika manusia itu masih lagi berbentuk janin di dalam rahim ibunya. Walau bagaimanapun, sekalipun urusan rezeki itu sudah ditetapkan dan ditentukan Allah Subhanahu Wata'ala dan merupakan sesuatu yang sudah pasti. Kita masih tetap perlu terus berusaha mencari rezeki sama ada dengan cara berniaga, bertani, menjadi nelayan, berkhidmat dengan kerajaan mahupun swasta dan seumpamanya.

Apa yang penting ialah setiap pekerjaan itu hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, berlandaskan hukum-hukum syarak, mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, jauhkanlah diri kita daripada perbuatan menipu, riba, rasuah dan seumpamanya. Sesungguhnya setiap rezeki yang kita perolehi daripada jalan yang salah itu boleh memberi kesan yang tidak baik, sama ada kepada diri kita sendiri mahupun kepada keluarga kita.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam agama Islam, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk membuka pintu rezeki yang luas. Antaranya:

Pertama: Bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala

Bagi orang-orang yang bertaqwa, Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan kepada mereka limpahan rezeki, malah Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan kepada mereka jalan keluar dari segala kesusahan dan rezeki yang tidak terlintas di dalam hati. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Talaq ayat 2-3 tafsirnya:

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar (dalam urusannya). Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka cukuplah Allah itu baginya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusannya. Allah telah menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Kedua: Menjauhi perbuatan dosa

Ini kerana dosa itu bukan sahaja membuat hati manusia berasa resah gelisah malah ia menutup pintu rezeki. Daripada Thuban Maula Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak ada yang menolak takdir kecuali doa, tidak ada yang menambah usia kecuali kebaikan dan seorang hamba benar-benar terhalang dari rezeki kerana dosa yang dilakukannya. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Ketiga: Menghubungkan Silaturrahim

Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan hubungan silaturrahim. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim).

Keempat: Mengamalkan Sembahyang Dhuha

Antara amalan yang menjadi kunci pintu rezeki dan bagi menolak kepapaan ialah dengan mendirikan sembahyang sunat Dhuha. Daripada Abu Dzar Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Allah Tabaraka Wata’ala berfirman: Hai anak Adam! Rukuklah untukKu empat rakaat di awal siang, nescaya aku cukupkan (keperluan-keperluan) engkau sehingga keakhirnya. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Termizi).

Kelima: Memperbanyakkan Istiqfar

Istiqfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seseorang hamba kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Abdullah bin Abas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa memperbanyakan istiqfar maka Allah Subhanahu Wata’ala akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Keenam: Memperbanyakkan sedekah

Sedekah itu mengundang rahmat Allah Subhanahu Wata'ala dan menjadi sebab Allah Subhanahu Wata'ala membukakan pintu rezeki. Daripada Abdul Rahman bin Auf Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Ada tiga perkara yang aku bersumpah atas ketiganya iaitu tidak akan berkurang harta kerana sedekah, maka bersedekahlah, tidaklah seseorang mengapakan suatu penganiayaan yang dialaminya kecuali Allah menambahkan baginya kemuliaan kerana penganiayaan itu, maka maafkanlah nescaya Allah akan menambah kemuliaan bagimu, tidaklah seseorang membuka bagi dirinya pintu meminta-minta di mana ia meminta-minta kepada manusia kecuali Allah membukakan baginya pintu kefakiran. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Ketujuh: Memperbanyakkan Membaca Doa

Sebagai orang Islam, kita sentiasa mengharapkan rahmat, keampunan, perlindungan dan pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Adapun antara cara untuk kita mendapatkan perlindungan dan pertolongan itu ialah melalui doa. Berdoa menjadikan seorang hamba itu dekat dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Kepada Saidina Ali  Radiallahu Anhu supaya diperbanyak dan di luaskan rezeki ialah:

Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezekimu yang halal sehingga aku terhindar daripada apa yang Engkau haramkan dan perkayakanlah aku dengan kurniaMu sehingga aku tidak meminta kepada selain Engkau.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Rezeki yang kita perolehi itu sebenarnya adalah milik Allah Subhanahu Wata'ala dan Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah yang berhak mengurnikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh yang demikian, apa yang penting dalam mencari rezeki itu ialah membetulkan niat dan tujuan iaitu untuk menanggung dan mencukupkan keperluan diri sendiri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungan kita. Oleh itu, jika ada rezeki yang lebih maka adalah lebih baik kita bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala memurahkan dan memberkati rezeki kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Mulk ayat 15 tafsirnya:

“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu (menjalani kehidupan) maka berjalanlah di merata-rata jeruk rantaunya serta makanlah sebahagian rezekinya dan kepadaNya lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”

Attachments