Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS PEMBUKAAN TADARUS AL-QURAN BAGI MASJID / SURAU / BALAI IBADAT SELURUH NEGARA SEMPENA BULAN RAMADHAN BAGI TAHUN 1444H/2023M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Rabu, 01 Ramadhan 1444H bersamaan 22 Mac 2023M–Bulan Ramadhan al-Mubarak adalah bulan yang dinanti-nantikan, bulan yang memberi makna besar dalam perjalanan hidup seorang Muslim. Ini kerana ia menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada setiap amalan yang dilakukan dan padanya terhimpun rahmat serta keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Pintu-pintu syurga dibuka pada bulan Ramadhan dan peluang-peluang mendapatkan kelebihan dan pahala yang berlipat ganda turut dibukakan seluas-luasnya kepada kita sepanjang bulan ini. Semuanya adalah tanda kemurahan rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Demikianlah juga pintu-pintu masjid, surau dan balai ibadat di seluruh Negara dibukakan bagi umat Islam baik secara perseorangan mahupun bersama keluarga untuk beriktikaf dan menggandakan amal ibadat serta menyemarakkan bulan Ramadhan dengan mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan yang disediakan sepanjang bulan Ramadhan ini. Tadarus Al-Quran di Masjid, Surau dan Balai Ibadat adalah merupakan salah satu aktiviti ta'mir dibulan Ramadhan yang mendapat sambutan masyarakat Islam di Negara ini.

Berikutan itu, Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran bagi Masjid / Surau / Balai Ibadat Seluruh Negara telah diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong. Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Tadarus tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.


Tadarus Al-Quran di Masjid, Surau dan Balai Ibadat adalah salah satu syiar untuk memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat di Negara ini, dalam suasana masyarakat Islam, tanpa mengira peringkat umur, sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekaligus mendekatkan diri dengan Al-Quran dan meyemarakkan bulan yang penuh berkat ini dengan amal ibadat semata-mata bagi meraih keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran bagi Masjid / Surau / Balai Ibadat Seluruh Negara tersebut dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong dan Radio Televisyen Brunei.

Acara pada malam tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis diikuti dengan Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong. Tadarus Al-Quran dimulakan dari surah Al-Baqarah oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian. Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong.






Attachments