Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PROGRAM BERSAMA MEMEDULI (AL-IHTIMAM MA’AN) SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN PERASMIAN YANG KE-55 TAHUN PEJABAT HAL EHWAL UGAMA DAERAH BELAIT

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Belait, Sabtu, 3 Ramadhan 1444H bersamaan 25 Mac 2022M–Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Program Bersama Memeduli (al-ihtimam ma'an) bersempena sambutan ulang tahun perasmian yang ke-55 tahun, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait.
Program adalah sebagai satu platform yang berkebajikan dalam sama-sama memeduli dan mendekati masyarakat sekitar Daerah Belait dan seterusnya mengeratkan lagi hubungan ukhuwah dan kerja berpasukan antara warga pejabat, di samping memupuk sifat prihatin terhadap ahli masyarakat yang memerlukan dan juga memupuk sifat suka berinfaq dan bersedekah.
Antara objektif mengadakan program ini ialah sebagai salah satu usaha amal kebajikan warga Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait melalui aktiviti pemberian sumbangan kepada golongan asnaf (Fakir Miskin / Muallaf) dan ahli masyarakat yang memerlukan terdiri daripada warga emas, golongan berkelainan upaya dan golongan yang kurang berkemampuan sekitar Daerah Belait untuk dimanfaatkan sebagai persediaan juadah mereka berbuka puasa berbentuk pek catuan makanan asasi.
Pengisian program ialah pengagihan sumbangan barang-barang keperluan makanan asasi hasil sumbangan daripada orang ramai sekitar Daerah Belait dan warga Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait serta keluarga.  Sumbangan berkenaan telah diagihkan kepada golongan asnaf (Fakir Miskin / Muallaf) terpilih pada hari ini, 25 Mac 2023, bertempat di Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, secara pandu lalu yang bermula jam 9.00 pagi. 
Hadir selaku Tetamu Khas di majlis pagi tadi ialah Yang Mulia Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait.  Turut hadir, Yang Mulia Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed.
Pengagihan seterusnya akan diadakan pada 27 Mac 2023 dengan aktiviti menghantar sumbangan barang-barang keperluan asasi ke rumah-rumah peserta yang terpilih yang akan disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama Bersama warga Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait.
Program Bersama Memeduli (al-ihtimam ma'an) adalah kesinambungan daripada program sebelum ini iaitu aktiviti penerimaan sumbangan barang-barang keperluan asasi yang telah diadakan pada 11 Mac dan 18 Mac 2023 lalu.


Attachments