Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MUNAJAT RAMADHAN ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-80

​​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu,  3 Ramadhan 1444H bersamaan 25 Mac 2023M–Bagi meraih ganjaran pahala dengan mempertingkatkan amal ibadah di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan acara Munajat secara maya dinamakan sebagai Munajat Ramadhan untuk mengambil sukut baik di bulan Al Mubarak ini dan disesuaikan waktunya selepas Sembahyang Fardhu Zohor.

Munajat Ramadhan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama kali ke-80 yang diadakan awal petang tadi mengundang Tetamu Khas, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (Orang-Orang Yang Bergelar) yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

 

Turut serta bagi sama-sama mengimarahkan Munajat Ramadhan ialah para pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan; para pegawai, tenaga pengajar dan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong; serta para jemaah daripada 99 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh Negara.

Juga menyertai bersama dengan warga Kementerian Hal Ehwal Ugama di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Zainuddin Shah bin Talip, Pegawai Pelajaran, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dari Ruang Legar, Jabatan Pendidikan Kokurikulum.

Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohammad, Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dari Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Diikuti dengan Tadabbur Al-Qur'an dari Surah Al-'Araaf, Ayat 44 hingga 47 disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Penolong Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Antara intisari dan pengajaran ayat daripada Tadabbur Al-Qur'an tersebut ialah “Ahli syurga merasa gembira atas ni'mat yang mereka perolehi yang dijanjikan Allah Subhânahû wa Ta'âlâ disebabkan, keimanan dan ketaatan mereka kepada-Nya ketika hidup di dunia. Manakala penghuni neraka pula merasa sesal kerana mereka mendapat balasan seksa yang dijanjikan Allah Subhânahû wa Ta'âlâ disebabkan kekufuran dan kederhakaan mereka ketika di dunia serta La'nat Allah Subhânahû wa Ta'âlâ akan ditimpakan kepada orang-orang yang melakukan kezaliman.

Tiga sifat orang-orang zalim iaitu menghalang diri sendiri dan orang lain daripada mengikut syari'at Allah Subhânahû wa Ta'âlâ; memesongkan syari'at Allah Subhânahû wa Ta'âlâ; dan Mengingkari adanya hari kiamat."

Acara diteruskan dengan bacaan Selawat Ya Nabi Salam 'Alaik dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, Pegawai Pelajaran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bagi memberkati acara Munajat Ramadhan, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Zaidin bin Haji Mohammad Noor, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dari Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong.

Munajat Ramadhan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk Bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah di bulan Ramadhan ini meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca Surah Yasin dan ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. Semoga dengan amalan ibadah di bulan Ramadhan ini, kehidupan kita dan Negara Brunei Darussalam diberkati.

Penyertaan bagi Munajat Ramadhan dibukakan kepada orang ramai dan dapat diikuti secara maya melalui aplikasi Microsoft Teams di pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau secara langsung melalui Facebook Pusat Da'wah Islamiah.



Foto: BPAAM​



​​
Attachments