Wahai kaum Muslimin yang dirahmati
Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan
kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan
dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di
dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya orang-orang Islam itu
adalah bersaudara dan persaudaraan yang diikat dengan perasaan cinta-mencintai
dan kasih mengasihi akan dapat menghasilkan hubungan yang harmoni dan bahagia
dalam kehidupan. Islam menganjurkan beberapa amalan yang boleh kita lakukan
bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Islam, antaranya seperti
menziarahi saudara-saudara kita yang sakit.
Menziarahi orang sakit adalah amalan
yang disukai Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam, hukumnya adalah sunat muakadah dan ia merupakan salah satu
tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang Muslim sebagaimana sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu
dia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
Hak seorang Muslim keatas Muslim yang lain ada lima perkara : Iaitu menjawab
salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan
mendoakan orang bersin". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Namun begitu, menziarahi orang sakit
tidaklah hanya terbatas kepada menziarahi ahli keluarga sahaja bahkan
menyeluruh kepada sesiapa sahaja, baik sahabat handai mahupun jiran tetangga.
Wahai kaum Muslimin yang berbahagia,
Sesungguhnya amalan menziarahi orang
sakit itu banyak hikmahnya dan fadilatnya, diantaranya mengukuhkan tali
persaudaraan sesama Islam, melahirkan rasa kasih sayang dan sifat belas
kasihan, sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mendatangkan keinsafan
kepada kita, ingat kepada kematian dan seterusnya mendorong kita untuk
bertaubat. Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka
yang menziarahi orang yang sakit, ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Ali Radiallahuanhu ia
berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada
seorang Muslim itu melawat seorang Muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan
meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan tiada
dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh
ribu malaikat hingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan
di dalam Syurga". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Ketika menziarahi orang sakit, Islam
menetapkan adab-adab yang perlu kita patuhi, antaranya tidak duduk terlalu lama
ketika berziarah kerana dikhuatiri orang yang sakit itu merasa kurang selesa,
keluh kesah dan menghalang pergerakannya. Akan tetapi tidaklah makruh duduk
lama jika kunjungan itu dapat mententeramkan dan menghiburkan hatinya.
Selain itu, ketika berada di sisi orang
yang sakit, kita disunatkan menyenangkan dan mententeramkan hatinya serta
menyuruhnya supaya sentiasa bersabar kerana semua itu adalah sebahagian dari
ujian Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya. Kita ambil iktibar kisah
kesabaran Nabi Ayub Alaihissalam yang menderita sakit akibat penyakit gatal
yang sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku Baginda akan tanggal
tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian Baginda terpaksa menggaru dengan
barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, Baginda menggaru badannya dengan
pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal.
Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar
dari tubuh Baginda yang luka itu nanah yang berbau busuk sehingga orang ramai
yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu lalu mereka
mengusir Nabi Ayub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua
orang memencilkannya kecuali isterinya yang mendampinginya dan merawatnya.
Walaupun Nabi Ayub telah ditimpa
penyakit, harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati
semuanya tetapi berkat kesabarannya dan imannya yang teguh terhadap Allah
Subhanahu Wata'ala, maka akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala telah memakbulkan
doa dan rayuannya lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah
keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah. Itulah sifat
mulia yang patut kita contohi iaitu bersabar dan redha ketika menerima ujian
sakit dari Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketahuilah saudara-saudara sekalian
bahawa sakit itu mempunyai banyak hikmat kerana orang yang sakit, jika dia
bersabar serta redha kepada ketentuan Allah maka dia akan mendapat pengampunan
daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu doa orang yang sakit adalah mustajab
sehingga diumpamakan doa mereka itu seperti doa para malaikat dan kita
disunatkan meminta daripada orang yang sakit itu supaya dia mendoakan bagi
kita.
Muslimin yang diberkati Allah,
Kita sebagai umat Islam adalah
digalakkan untuk berdoa, baik ketika senang mahupun susah, baik untuk diri
sendiri mahupun untuk kebaikan dan kesejahteraan orang lain. Oleh itu jika kita
datang menziarahi orang sakit atau mendengar khabar mereka yang sakit, kita
disunatkan mendoakan mereka supaya lekas sembuh. Islam banyak mengajarkan doa
dan amalan dari ayat-ayat Al-Quran untuk mengubat penyakit yang dihidapi.
Sebagai contoh, ketika menziarahi orang sakit bacalah kepada mereka Surah
Al-Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah An-Naas.
Manakala jika orang yang kita ziarahi
itu hampir meninggal dunia, sunat kita membacakan Surah Yaasiin ataupun membaca
Surah Ar Ra'd. Andaikata orang yang sakit itu dalam keadaan tenat, tiada
harapan untuk sembuh atau dalam keadaan nazak maka sunat bagi orang yang
menziarahinya lebih-lebih lagi orang yang akrab dengan pesakit mentalqinkan
atau membisikkan di telinganya kalimah 'Laa ilahahillallah',
mudah-mudahan matinya nanti diakhiri dengan menyebut kalimah 'Laa
ilahahillallah' kerana barangsiapa yang akhir kalamnya menyebut 'Laa
ilahahillallah' maka nescaya akan dimasukkan ke dalam Syurga.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Perlu diingat semasa menziarahi orang
sakit, kita hendaklah menjaga tingkah laku, tutur kata dan percakapan kita
dengan baik serta tidak berbuat bising. Bahkan semasa Baginda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam sakit, Baginda pernah menyuruh para sahabat yang
berbuat bising untuk meninggalkan Baginda.
Begitulah juga keadaannya jika kita
menziarahi orang sakit yang berada di hospital untuk tidak berbuat bising.
Selain itu kita patuhilah juga peraturan yang dikenakan oleh pihak yang
berkenaan seperti mengikut jadual masa lawatan yang telah ditetapkan.
Akhirnya jadikanlah amalan menziarahi
orang sakit sebagai budaya kita kerana ia mencerminkan perpaduan umat Islam dan
dapat memberikan banyak pengajaran yang berfaedah bagi kita dan sama-samalah
kita berdoa semoga kita dikurniakan keafiatan di dunia dan di akhirat. Amin Ya
Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam
Surah Asy Syu'araa' ayat 78-80 tafsirnya :
"Tuhan yang menciptakan daku dari
tiada kepada ada, maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku. Dan
Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit,
maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku".