Al-Quran Al-Karim merupakan mukjizat agung yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam sebagai petunjuk dan pedoman sepanjang zaman. Al-Quran mengandungi panduan yang sempurna untuk membina insan, membentuk masyarakat dan mengatur kehidupan manusia. Namun, nilai agung Al-Quran tidak akan dapat dirasai hanya melalui pembacaan semata-mata, bahkan menuntut proses tadabbur yang mendalam iaitu merenung, memahami dan menghayati maksud serta mesej yang tersirat dan tersurat dalam Al-Quran.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS akan menganjurkan Kursus Tadabbur Al-Quran Tahun 1447H/2025M selama tiga (3) hari berturut-turut iaitu pada hari Selasa, Rabu dan Khamis, 09, 10 dan 11 Rabiulawal 1447 bersamaan 02, 03 dan 04 September 2025 bertempat di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.
Kursus Tadabbur Al-Quran Tahun 1447H/2025M dibahagikan kepada 2 sesi iaitu Sesi Pagi bermula dari pukul 8.00 hingga 11.30 pagi. Manakala Sesi Petang dari pukul 1.45 hingga 3.30 petang. Kursus ini akan mengetengahkan dan memfokuskan kepada teknik, tatacara dan kaedah mentadabbur ayat-ayat Al-Quran dengan lebih jelas dan tematik. Kursus dibukakan kepada belia-belia yang belum berkhidmat dengan kerajaan.
Tujuan Kursus Tadabbur Al-Quran Tahun 1447H/2025M ini diadakan adalah untuk membimbing masyarakat awam dalam memberikan kefahaman dan penghayatan kepada Al-Quran melalui rujukan dan kitab-kitab tafsir yang muktabar. Ini selaras dengan konsep Negara Zikir dan rakyat celik Al-Quran sepertimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Semoga dengan penganjuran ini, ianya akan dapat melahirkan individu yang mampu menjadi pemudah cara tadabbur di tempat masing-masing serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Bagi keterangan lanjut mengenai Kursus Tadabbur Al-Quran Tahun 1447H/2025M, bolehlah berhubung terus dengan Yang Mulia Dayang Noralina binti Haji Abd Rahim, Pegawai Ugama, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS di talian 7169870.