Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA TAHUN 1447 HIJRAH

Dalam masa kurang dua minggu sahaja lagi, masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam khasnya dan penduduk Islam dunia amnya akan menyambut Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bagi tahun 1447 Hijrah.  

Sehubungan dengan itu, bagi memperingati akan kelahiran Baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, Negara Brunei Darussalam juga akan menyambut Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bagi Tahun 1447 Hijrah secara besar-besaran dengan Perhimpunan dan Perarakan serentak di keempat-empat daerah pada hari Sabtu, 13 Rabiulawal1447 Hijrah bersamaan 06 September 2025 Masihi dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, mulai pukul 7.00 Pagi.

Bagi Daerah Belait akan diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait;  manakala Daerah Tutong akan diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong;  dan Daerah Temburong, di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Manakala Perhimpunan Khas Wanita akan juga diadakan iaitu bagi Daerah Belait di Dewan Persidangan Kuala Belait; Daerah Tutong di Dewan Ma'had Islam Brunei;  dan Daerah Temburong di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Tema bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah ialah “Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam Adalah Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah."

رسول الله صلى الله عليه وسلم اداله  تلادن كلوارك ساكنة , مودة ورحمة

 
Sementara itu, Latihan Penuh (Rehearsal) Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1447 Hijrah bagi Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada hari Khamis, 04 September 2025.

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Sama-samalah kita memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam.  Semoga kita semua mendapat rahmat, keberkatan dan keredhaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala jua.​


Attachments