بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Belait, Rabu, 30 Safar 1446 bersamaan 04 September 2024–Ke arah mendukung hasrat Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan rakyat yang celik Al-Quran dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai satu budaya dan amalan hidup seharian, Sekolah Arab Belait pagi tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi pelajar-pelajar Sanah (Tahun) 6 bertempat di surau sekolah berkenaan.
Seramai 20 orang pelajar terdiri dari 7 orang lelaki dan 13 orang perempuan yang telah mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran diraikan dalam majlis tersebut.
Hadir selaku Tetamu Khas bagi acara tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, Penghulu Mukim Kuala Belait, Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Majlis turut dihadiri oleh para jemputan khas daripada Jabatan Pengajian Islam dan para ibubapa pelajar yang diraikan.
Majlis Khatam dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan diteruskan dengan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Tetamu Khas Majlis. Diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam. Disusuli dengan bacaan Takhtim Al-Quran oleh pelajar-pelajar perempuan Sanah 5, 7 dan 8. Seterusnya bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amzar Firdaus bin Zulkifle, salah seorang peserta Khatam. Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban oleh pelajar-pelajar lelaki sekolah berkenaan.
Kemudiannya, penyampaian Sijil Khatam Al-Quran oleh Tetamu Khas Majlis dan diakhiri dengan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Sawardi bin Haji Mahadi.
Foto: JPI