Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

47.24 KILOGRAM DAGING HATI BUYAH JENAMA MIDFIELD TANPA PERMIT IMPORT HALAL DIRAMPAS

30 September 2024

47.24 KILOGRAM DAGING HATI BUYAH JENAMA MIDFIELD TANPA PERMIT IMPORT HALAL DIRAMPAS

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Bandar Seri Begawan, Isnin, 26 Rabiulawal 1446 bersamaan 30 September 2024–Satu operasi bersepadu dijalankan oleh Pegawai-Pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada hari khamis, 26 September 2024, pukul 03.54 petang di salah sebuah rumah di kawasan Kampung Tanah Jambu.

Hasil operasi bersepadu itu telah mendapati sebanyak 47.24 kilogram daging hati buyah jenama Midfield disimpan di rumah tersebut yang dipercayai dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam tanpa permit import halal.  Kesemua daging hati buyah dirampas dan kes diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas perkongsian maklumat berhubung aktiviti yang melibatkan daging-daging yang diragui kehalalannya.  Bagi orang ramai yang ingin membuat pengaduan serta penyaluran maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging diragui kehalalannya bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syar'iah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Sehubungan perkara ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin mengingatkan kepada mana-mana syarikat yang hendak membawa masuk daging mentah halal ke Negara Brunei Darussalam supaya mendapatkan Permit Import Halal daripada Majlis Ugama Islam di samping memenuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan oleh agensi-agensi lain berkaitan pengimportan daging halal.  Perkara ini adalah mustahak dan perlu dipatuhi agar daging yang dibawa masuk dan dijual di Negara ini terjamin halal demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini.

Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa bekerjasama bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

 

Foto: JHES