Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH DAN CENDERAHATI PERTANDINGAN-PERTANDINGAN KOKURIKULUM ANJURAN JABATAN PENGAJIAN ISLAM BAGI TAHUN 1446H / 2024M

27 November 2024

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH DAN CENDERAHATI PERTANDINGAN-PERTANDINGAN KOKURIKULUM ANJURAN JABATAN PENGAJIAN ISLAM BAGI TAHUN 1446H / 2024M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Serusop, Rabu, 25 Jamadilawal 1446 bersamaan 27 November 2024–Ke arah mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, Jabatan Pengajian Islam petang tadi mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Cenderahati bagi meraikan seramai 114 orang peserta dari kalangan tenaga pengajar dan pelajar yang memenangi berbagai pertandingan kokurikulum anjuran Jabatan Pengajian Islam yang dijalankan sepanjang tahun ini.  Acara diadakan di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop.

Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang juga menyampaikan hadiah kepada para penerima.

Antara pertandingan kokurikulum yang telah dikendalikan oleh Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam pada tahun ini ialah Pertandingan Mari Bercerita Dalam Bahasa Arab (Individu);  Peraduan Syarahan Tafsir Al-Quran bagi Murid-Murid Sekolah Ugama; Peraduan Membaca Ayat-Ayat Lazim bagi Murid-Murid Berkeperluan Khas (MBK) bagi Sekolah-Sekolah Ugama; Peraduan Membaca Rawi bagi Murid-Murid Sekolah Ugama;  dan Peraduan Membaca Al-Quran bagi Pegawai-Pegawai dan Guru-Guru Ugama Sempena Sambutan Hari Guru Ke-34, Tahun 2024.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar; Surah Al-Fatihah dan diserikan lagi dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang pemenang yang diraikan.  Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, Pegawai Pelajaran Ugama di Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam.

Acara merupakan aktiviti tahunan Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam bagi menzahirkan penghargaan dan sebagai insentif kepada guru-guru dan pelajar-pelajar untuk terus berusaha demi kejayaan dalam bidang pendidikan khususnya bidang kokurikulum.

 

Foto: JPI