Pulaie, Sabtu, 02 Safar 1447 bersamaan 26 Julai 2025–Belia Muallaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Program Hi-Class (Hidayah Class) 2025M bagi Siri Kelima pada tahun ini bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Program Hi-Class (Hidayah Class) 2025M bagi Siri Kelima merupakan platform pembelajaran yang diselitkan dengan sesi perbincangan interaktif dan aktiviti menarik direka khusus bagi memudahkan proses pembelajaran para belia Muallaf. Di samping menerapkan format Hi-Class yang segar dan mesra belia, program ini juga menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik, menyeronokkan dan relevan dengan jiwa generasi muda masa kini.
Inisiatif ini turut menyokong usaha Pusat Da'wah Islamiah dalam memantau dan membimbing perkembangan para Muallaf secara dekat ke arah melahirkan individu yang berilmu, berkeyakinan serta mampu mengamalkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian mereka.
Program diserikan dengan ceramah bertajuk 'Zakat: Menghubungkan Hati, Memperkasakan Ummah' yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Fuad bin Matahir, Penolong Pensyarah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Ceramah juga mengetengahkan kisah kejayaan zakat dari zaman sahabat dan masa kini sebagai inspirasi kepada para peserta.
Melalui ceramah tersebut, dihasrat akan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang konsep dan hak zakat serta menggalakkan penyertaan aktif dalam amalan berzakat. Program dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan sesi Perkongsian Hi-Class yang disampaikan oleh penceramah undangan. Diteruskan dengan sesi soal jawab dan diakhiri dengan Tasbih kafarrah, Surah Al-'Asr.




Foto: PDI