Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KELAS BIMBINGAN MUALLAF TUTUP TIRAI DENGAN SESI KONGSISAMA

28 November 2025

KELAS BIMBINGAN MUALLAF TUTUP TIRAI DENGAN SESI KONGSISAMA

Belait, Jumaat, 07 Jamadilakhir 1447 bersamaan 28 November 2025–Bagi memupuk semangat perpaduan antara tenaga pengajar dan peserta kelas bimbingan serta menggalakkan komitmen berterusan dalam mempelajari ilmu agama, para peserta Kelas Bimbingan Muallaf dari Balai Ibadat Merangking dan Masjid Al-Masshor, Kampung Sungai Mau petang tadi mengadakan Majlis Penutup Kelas Bimbingan Muallaf bertempat di Masjid Al-Masshor, Kampung Sungai Mau, Daerah Belait.

Seramai 50 orang peserta Kelas Bimbingan Muallaf Kampung Merangking dan Kampung Sungai Mau menghadiri majlis tersebut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.  Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Ketua Cawangan Da'wah Daerah Belait; Yang Mulia Awang Haji Akup bin Haji Lamat, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait serta Yang Mulia Awang Nurulizam bin Abdul Rahman, Ketua Kampung Merangking.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Qayyum bin Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA).  Diteruskan dengan sesi kongsisama daripada wakil peserta Kelas Bimbingan Muallaf Kampung Merangking dan Kampung Sungai Mau. Kongsisama antara lain menceritakan perjalanan serta pengalaman para Muallaf sepanjang mengikuti kelas bimbingan, di samping memberikan motivasi dan galakkan agar lebih ramai lagi saudara-saudara baru mengikuti kelas bimbingan seumpamanya.

Moderator bagi sesi perkongsian ini ialah Yang Mulia Awangku Abd Qayum bin Pengiran Bakar, tenaga pengajar Kelas Bimbingan Muallaf.  Manakala ahli panel terdiri daripada peserta Kelas Bimbingan Muallaf iaitu Awang Haji Muhammad Amiruldinie bin Md Nasiruddin, Awang Razim bin Abdullah, Dayang Hajah Nurhidayatul Asmah binti Kasi dan Dayang Hajah Norita binti Abdullah.

Kelas Bimbingan Muallaf ini akan disambung semula ​pengajiannya mulai Januari 2026 di keempat-empat daerah.


Foto: PDI​