Pulaie, Khamis, 15 Ramadan 1447 bersamaan 05 Mac 2026–Dalam usaha memperkukuhkan penghayatan Al-Qur'an melalui pendekatan tadabbur yang lebih mendalam serta memupuk kecintaan terhadap Islam melalui perkongsian secara tematik dengan menjadikan kisah para Al-Anbiya' sebagai teladan, Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi meneruskan Program Siri Tadabbur Al-Qur'an Kali Ke-9 bagi Minggu Kedua bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah.
Program Siri Tadabbur kali ini membawa tema Rakyat Berpendidikan dan Berkemahiran Tinggi dan dimulakan dengan muqaddimah oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amin bin Alias. Diikuti dengan bacaan Surah An-Nahl, Ayat 120 hingga 122 berserta terjemahannya oleh Yang Mulia Awang Mohammad Norhadi Yussof @ Yusreen bin Abdullah.
Seterusnya, Kuliah Tadabbur bertajuk Iman Dalam Dunia Penuh Tekanan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Kuliah tersebut antara lain mengisahkan keteguhan iman Nabi Ibrahim 'alaihissalam dalam menghadapi ujian, di samping menekankan bahawa pegangan yang kukuh kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala mampu melahirkan masyarakat yang berilmu, berdisiplin dan berintegriti. Pembentukan peribadi Muslim sejati juga bermula dengan meletakkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai keutamaan tertinggi, sekali gus melahirkan individu yang berprinsip, berakhlak mulia serta teguh memegang nilai tauhid.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab bersama penceramah bagi merungkaikan persoalan yang dibangkitkan oleh para peserta. Acara turut dimeriahkan dengan sesi kuiz interaktif. Diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz, penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan dan tetamu khas sebelum sesi bergambar ramai.
Pada tahun ini, Siri Tadabbur Al-Qur'an tampil dengan tema baharu iaitu Menuju Wawasan 2035: Langkah Belia, Jejak Al-Anbiya' sebagai satu inisiatif memperkasa peranan generasi muda melalui penghayatan kisah para Al-Anbiya' dalam Al-Qur'an, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Tema ini menekankan peranan belia sebagai ejen perubahan yang bukan sahaja berorientasikan pembangunan negara, malah berpaksikan panduan wahyu dalam mendepani cabaran semasa.
Program Siri Tadabbur Al-Qur'an Kali Ke-9 ini juga dirancang khusus untuk mewujudkan suasana mesra dan inklusif antara golongan belia dengan masyarakat awam. Program ini diadakan pada setiap hari Khamis selama empat minggu berturut-turut sepanjang bulan Ramadan dengan tujuan menghidupkan majlis ilmu di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli Belia Da'ie, alumni Akademi Da'wah dan orang ramai.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Rakaman penuh program tersebut boleh didapati di Instagram rasmi Belia Da'ie (@beliadaie).
Foto: PDI