Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masihi 2022

‚Äč

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT
AWAL TAHUN BARU MASIHI 2022
 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, tidak ada yang lebih bererti, dari merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat berada dalam tahun baru Masihi 2022.

Inilah antara nikmat yang tidak dapat dinilai dengan apapun, seperti juga nikmat umur, nikmat kesihatan, nikmat kemakmuran dan pelbagai lagi bentuk nikmat, yang semua itu adalah merupakan kurnia Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata.

Menyebut lagi tentang wabak koronavirus, baru-baru ini dunia dikejutkan pula oleh kemunculan varian baru (Omicron). Menurut sumber mutakhir, Omicron setakat ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia, yang menambahkan lagi kebimbangan global. Namun kita selaku umat yang beriman, tetap melihat perkara itu sebagai ketentuan Allah jua.

Sebagai usaha menghadapi wabak, Brunei telah melaksanakan program vaksinasi kebangsaannya dengan lancar dan berjaya, sehingga mampu membawa Negara ini memasuki fasa endemik.

Dengan memasuki fasa ini, beberapa aktiviti yang dahulunya disekat sudah boleh dibuat, tetapi masih saja dikehendaki untuk mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Beta juga ingin terus mengingatkan supaya kita semua jangan leka atau lupa apabila diberi kelonggaran, kerana sedikit sahaja lupa, boleh mengundang padah.

Walaupun kita sama-sama bergelut dengan wabak pandemik, namun pada tahun 2021, Negara alhamdulillah, telah ditakdirkan berjaya mempengerusikan ASEAN. Warga ASEAN dilihat gembira, kerana dapat meningkatkan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN.

ASEAN juga sedang berusaha supaya warga belia dapat mewarisi rantau ini dengan pembangunan-pembangunan mampan, di mana untuk itu ASEAN telahpun menubuhkan ASEAN Junior Fellowship Programme.

Berbalik mengenai pencapaian negara, alhamdulillah Negara kita telah dinobat mendapat kedudukan ke-21 daripada 214 buah negara dalam Government Effectiveness Index yang berpandukan kepada laporan Worldwide Governance indicators 2021 keluaran World Bank. Sudah setentunya pencapaian ini memerlukan kerja keras yang lebih di kalangan semua pihak di Negara ini.

Dalam usaha memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, penyediaan sumber tenaga manusia yang marketable dan employable adalah sangat penting untuk diberi perhatian. Di sini, program-program pembelajaran sepanjang hayat adalah berkaitan.

Mengenai pembelajaran ini, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian-Kementerian yang berkenaan, telahpun membuat perancangan menyeluruh untuk meneruskan program persekolahan dalam fasa peralihan atau fasa endemik. Beta berharap, ia akan dapat berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang.

Secara umumnya, di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke Sebelas, agenda-agenda pembangunan adalah berjalan dengan baik. Di bawah rancangan ini, banyak projek telah dan sedang dalam perlaksanaan. Namun agak dikesali apabila mengetahui, bahawa banyak bangunan kepunyaan Kerajaan yang terbiar dan tidak digunakan lagi. Mengapa? Beta melihat, perkara ini perlu ditangani secara holistik oleh pihak berkepentingan, supaya aset-aset berkenaan dapat dimanfaatkan dan sekaligus untuk mengelak pembaziran. Disamping itu, semua kementerian adalah digalakkan untuk melaksanakan kaedah shared facilities agar perbelanjaan dapat difokuskan kepada mencapai Wawasan Negara 2035.

Kita juga sedang melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN). Dengan sistem ini, permohonan bantuan kebajikan akan dapat dipercepatkan, serta bantuan pula dapat ditentukan hanya untuk mereka yang benar-benar berhak sahaja.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, para sukarelawan, para barisan hadapan, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2021.

Beta juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan kepada Kerajaan Beta, sama ada dalam menangani wabak mahupun dalam mendokong agenda pembangunan negara.

Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan, khusus ketika Negara mengalami gelombang kedua pandemik.

Selamat Tahun Baru Masihi 2022 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments