Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

PROGRAM PERTUKARAN BUDAYA DAN PENDIDIKAN DI ANTARA SEKOLAH-SEKOLAH DARI KESULTANAN OMAN DAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 04hb Rabiulawal 1443H bersamaan 11hb Oktober 2021M-Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bi Madaris ‘Arabiah, Pejabat Setiausaha Tetap dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam dan Bahagian Antarabangsa dan MABIMS telah mengadakan Majlis Suai-Kenal antara sekolah-sekolah dari Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam secara atas talian di kalangan pengetua-pengetua dan tenaga-tenaga pengajar dari sekolah-sekolah Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Negara Brunei Darussalam dan sekolah-sekolah di bawah Suruhanjaya Nasional Pendidikan, Kebudayaan dan Sains, Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman.

Tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi mempereratkan hubungan yang sedia ada dengan Kesultanan Oman serta memberikan peluang kepada para pengetua dan tenaga pengajar dari kedua-dua buah negara untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelaksanaan program yang akan bermula pada 18 Oktober, 2021 bagi pelajar-pelajar dari kedua-dua buah negara secara atas talian. Program ini juga bertujuan untuk mencapai matlamat memperkasa penggunaan Bahasa Arab bagi bukan penuturnya di samping melahirkan pelajar-pelajar Brunei yang boleh bertutur di dalam Bahasa Arab sebagai bahasa kedua.

Pelbagai rancangan program telah disusun oleh Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman yang akan dijalankan selama 12 sesi. Program ini diisikan dengan pertukaran pendidikan budaya dan warisan dari kedua-dua buah negara yang mana ianya diharapkan akan dapat memperkenalkan pelajar-pelajar kepada budaya dari pelbagai bangsa, meningkatkan interaksi antara pelajar-pelajar dalam bertukar-tukar pandangan mempelajari adat resam, tradisi dan warisan untuk menyemai budaya hormat-menghormati di kalangan masyarakat setempat dengan budaya yang berbeza. Selain itu, pelbagai aktiviti juga telah dirancang seperti pertandingan menulis artikel, persembahan visual, perbahasan pelajar, melukis dan fotografi untuk mempertingkatkan lagi persaingan di kalangan pelajar.

Program Pertukaran ini nanti akan diselia dan dipantau oleh Pertubuhan Sekolah-Sekolah, Program Belia dan Kelab UNESCO dari Kesultanan Oman. Inisiatif Kesultanan Oman dalam melaksanakan Program Pertukaran secara atas talian adalah sebagai landasan pertemuan bagi pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam dengan pelajar-pelajar dari Kesultanan Oman dan sangat disambut baik oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kementerian Hal Ehwal Ugama sangat bersyukur serta menghargai sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh Kesultanan Oman dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama yang berterusan di masa hadapan.

Attachments