Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 06 Jamadilakhir 1443H bersamaan 08 Januari 2021M–Ayat Al-Kursi merupakan ayat yang paling agung sekali dalam Al-Quran. Ayat Al-Kursi mengumpulkan didalamnya tujuh perkara yang meliputi nama dan sifat yang asas bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala  iaitu  Ketuhanan Allah, Keesaan Allah, Maha Hidup Allah, Maha Berkuasa Allah, Maha Berkehendak Allah, Maha Mengetahui Allah dan Pemerintahan Allah.

Demikian inti pati tazkirah bertajuk ‘Keagungan Ayat Al-Kursi’ yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti IFTA, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri semasa Majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi minggu kedua tahun 2022 malam tadi.

Beliau menambah, siapa yang membaca ayat Al-Kursi di belakang setiap kali sembahyang fardhu, nescaya tidak ada yang mencegahnya daripada masuk Syurga tanpa ada yang menghalangnya kecuali kematian. Bahkan menurut ulama, kematian merupakan wasilah atau perantaraan untuk masuk ke dalam Syurga. Yang Mulia Dr. menyeru orang ramai supaya mengamalkan membaca ayat Al-Kursi terutama selepas sembahyang fardhu lima waktu, sebelum tidur, di waktu pagi dan petang sebagai zikir harian, sebelum keluar rumah dan sebagainya.

Alhamdulillah, setiap kali Majlis Malam Munajat kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama dianjurkan, ianya telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan penyertaan yang ramai. Malam tadi lebih 1000 penyertaan terdiri dari orang ramai dan juga warga Kementerian Hal Ehwal Ugama berserta dengan keluarga masing-masing.

Majlis Malam Munajat mengajak warga Kementerian Hal Ehwal Ugama dan orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, berselawat dan merafa’kan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya, khasnya wabak COVID-19.


Majlis Malam Munajat Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama malam tadi telah disertai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang seterusnya memulakan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah bagi memimpin majlis.

Seterusnya majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohamad Hashim bin Haji Abdullah, Pegawai Pelajaran, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Qur’an MABIMS, dan diteruskan dengan bacaan Doa Munajat oleh Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar`ie, Jabatan Perdana Menteri.

Majlis Malam Munajat kemudiannya diisikan dengan tazkirah dan diakhiri dengan bacaan Selawat Ibrahimiyyah dipimpin oleh Belia Muallaf Asy-Syahadah, Pusat Da’wah Islamiah.

Turut serta menyerikan majlis malam munajat tersebut ialah kehadiran Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Sama-samalah kita meningkatkan kewaspadaan kita dalam mencegah penularan wabak ini dan sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga negara kita akan dilindungi serta bebas daripada wabak berkenaan dengan izin-Nya jua.






Attachments