Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL KURSUS PENGENALAN BAHASA ARAB ASAS KOMUNIKASI

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Rabiulakhir 1444H bersamaan 23 November 2022M-Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bil Madaris Al-‘Arabiah, Pejabat Setiausaha Tetap dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran telah menganjurkan Kursus Pengenalan Bahasa Arab Asas Komunikasi yang telah diadakan selama lapan [8] hari, iaitu pada setiap hari Selasa dan Rabu, bermula 1 hingga 23 November 2022M.

Sehubungan dengan itu, pagi tadi telah berlangsung Majlis Penyampaian Sijil kepada peserta-peserta yang mengikuti Kursus Pengenalan Bahasa Arab Asas Komunikasi bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya berkesudian menyampaikan sijil-sijil di majlis berkenaan ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.


Turut hadir, Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ketua Urus Setia Pesuruhjaya Polis, Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Jabatan Pertahanan serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Adapun tujuan kursus diadakan adalah bagi mempromosikan dan membudayakan Bahasa Arab kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam khususnya di kalangan warga perkhidmatan awam dan agensi-agensi yang berkaitan. Diharapkan dengan adanya kursus ini, ianya akan dapat memberikan pendedahan dan memperkenalkan peserta kursus dengan perkataan asas Bahasa Arab serta ungkapan-ungkapan Bahasa Arab yang lazim dan mudah dalam komunikasi seharian di samping memupuk dan menanamkan minat peserta kursus untuk terus mempelajari Bahasa Arab.

Seramai 25 orang peserta telah berjaya menamatkan kursus tersebut dan menerima sijil masing-masing pagi tadi. Peserta-peserta adalah terdiri dari pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Haji Jalaluddin Jamil bin Mohd Kushairi Azam, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat Majlis, dan disusuli dengan ucapan daripada wakil peserta kursus. Acara diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta kursus, fasilatator dan pembantu fasilatator kursus.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Attachments