بِسْمِ
ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Rabu, 5 Muharram
1444H bersamaan 3 Ogos 2022M–Bagi melahirkan belia yang berdedikasi
dan sentiasa bersiap sedia dalam menempuh peperiksaan dan juga alam pekerjaan,
pelajar-pelajar perlu memiliki semangat yang tinggi dan matlamat yang jelas
untuk mencapai kecemerlangan di dalam apa sahaja bidang dan kerjaya yang
diimpikan. Justeru itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Bimbingan dan Kaunseling,
Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah mengadakan satu program iaitu
‘Hari Hala Tuju Kali Ke-2 dan Program Motivasi’ sebagai pendorong dan petunjuk
kepada pelajar dalam membuka minda mereka mengenai hala tuju mereka di masa
akan datang.
Program tersebut telah dijalankan selama
dua hari bermula dari hari Selasa, 2 Ogos 2022 hingga hari Rabu, 3 Ogos 2022
pada sebelah pagi dan petang.
Beberapa orang pegawai mewakili
Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pertahanan, Pasukan Polis Diraja
Brunei, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Bank Islam Brunei Darussalam, Takaful
Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Sekolah Menengah Arab
Lelaki Hassanal Bolkiah telah dijemput untuk mengongsikan ilmu, pengalaman dan
nasihat yang bermanfaat serta motivasi kepada pelajar-pelajar Tahun 11 dan 10
Fast Track sesi 2022.
Antara acara yang telah dilaksanakan pada
hari pertama ialah Taklimat Hala Tuju Pengajian dan Pameran dari Kolej
Perguruan Ugama Seri Begawan dan Sekolah Menengah Arab Lelaki Hassanal Bolkiah.
Pada hari Kedua, penyampaian tazkirah motivasi daripada Kementerian Hal Ehwal
Ugama kepada para pelajar sebaik sahaja selesai menunaikan Solat Hajat dan
Dhuha berjemaah serta membaca Yaasin beramai-ramai. Pelajar-pelajar kemudiannya
mendengarkan kongsisama pengalaman daripada beberapa orang pegawai yang
dijemput mewakili pelbagai sektor.
Matlamat program ini adalah sebagai
menyuntik semangat pelajar-pelajar supaya belajar bersungguh dan seterusnya
melanjutkan pelajaran untuk kejayaan hidup di masa depan. Program ini juga
dikendalikan untuk membina keyakinan dalam diri para pelajar untuk meningkatkan
pembelajaran masing-masing. Di samping itu, sebagai persiapan dan memberi
motivasi sebelum para pelajar menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama
Brunei yang akan bermula pada hari Sabtu, 6 Ogos 2022 ini.




