بِسْمِ
ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kuala Belait, Rabu, 5 Muharram 1444H
bersamaan 3 Ogos 2022M–Susulan tular di media social pada 28hb.
Julai 2022 mengenai gambar menunjukkan seekor anjing liar mencemari bekas baldi
yang berisi makanan di luar belakang salah sebuah restoran di Daerah Belait,
Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah telah menjalankan
penyiasatan mengenai perkara ini.
Bertindak untuk menyiasat penularan
perkara ini, Pegawai-pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal di
Jabatan Hal Ehwal Syariah dengan kerjasama Pegawai-Pegawai Penguatkuasaan dari
Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan telah membuat pemeriksaan
ke premis yang ditularkan pada kira-kira jam 12.00 tengahari di hari yang sama.
Restoran terbabit merupakan pemegang sijil halal yang sah. Oleh itu, arahan
penyertuan juga dikeluarkan kepada pemilik restoran untuk dilaksanakan dengan
serta merta. Kes tersebut pada masa ini masih lagi dalam siasatan pihak
penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan
jika terbukti boleh didakwa di bawah Bab 37, Perintah Sijil Halal dan Label
Halal, 2005 bagi kesalahan melanggar syarat-syarat pensijilan halal.
Oleh yang demikian, Kementerian Hal Ehwal
Ugama ingin memperingatkan kepada pemilik-pemilik restoran yang memiliki sijil
halal agar sentiasa mematuhi syarat dan kehendak yang telah ditetapkan dalam
Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 dan sebarang peraturan di bawah nya.
Sebarang pelanggaran terhadap undang-undang dan peraturan pensijilan halal di
Negara ini, pihak berkuasa di Kementerian ini tidak akan teragak-agak untuk
mengambil tindakan undang-undang demi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di
Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal
Ugama ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas
kerjasama orang ramai memberikan maklumat mengenai perkara ini dan bagi orang
ramai yang ingin membuat pengaduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang
pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal bolehlah dibuat terus ke
Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan
menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan
Makanan Halal di setiap daerah