بِسْمِ
ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
BRUNEI MUARA, Jumaat, 7hb Muharram 1444H
bersamaan 5hb Ogos 2022M–Urusetia Program Keugamaan Belia dan
Belia Da’ie dengan kerjasama Pusat Da’wah Islamiah dan Jabatan Hal Ehwal Masjid
telah mengadakan Majlis Rehlah Ilmiyyah dan Pejuang Fajr sempena sambutan Awal
Tahun Hijrah 1444 di Masjid Jefri Bolkiah, Kampong Batong, Daerah Brunei Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah
Yang Mulia Awang Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, Timbalan Setiausaha Tetap,
Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Rehlah Ilmiyyah merupakan aktiviti
tahunan Urusetia Program Keugamaan Belia; dan Pejuang Fajr adalah aktiviti
tahunan Belia Da’ie. Pada kali ini dua aktiviti ini digabungkan dan
diungkayahkan dengan kolabrasi bersama Pusat Da’wah Islamiah dan Jabatan Hal
Ehwal Masjid.
Antara tujuan Majlis ini diadakan adalah
untuk melahirkan Modal Insan yang mengikut calak Brunei dan berkefahaman Aqidah
Ahli Sunnah Waljama’ah serta Mazhab Imam As-Syafi’e, mempelbagaikan metodologi
da’wah kepada golongan belia mengikut perkembangan semasa. Membina jati diri
yang berorientasikan Melayu Islam Beraja serta memupuk rasa cinta terhadap
masjid dengan memakmurkannya dari masa ke semasa.
Antara yang hadir, pegawai dan kakitangan
Pusat Da’wah Islamiah dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Ahli Jawatan Kuasa Takmir
Masjid Jefri Bolkiah, Kampong Batong, Belia-belia di bawah Program Keugamaan
Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kumpulan belia dan beliawanis Daerah Brunei
Muara dan Jemaah Masjid Jefri Bolkiah, Kampong Batong.
Di antara pengisian program adalah
Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah; Membaca Surah Al-Kafhi yang dipimpin oleh
Awang Muhammad Fuad bin Matahir, Pengerusi Belia Da’ie;Tazkirah bertajuk
“Penghijrahan yang utama” disampaikan oleh Awang Muhammad Khairul Muaz bin Haji
Sibodaud, Da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei; senaman pagi dipimpin
oleh Awang Mohammad Alwendy bin Mohammad Fadillah, Urusetia Program Keugamaan
Belia dan gotong royong membersihkan dalam dan luar masjid serta merentang
sajadah untuk sembahyang Jumaat.