Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Petikan Al-Qur'an

Keutamaan Ilmu

Tafsirnya: Dia (Allah) memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran, melainkan orang-orang yang mempunyai akal (yang dapat memikirkan dan memahaminya). (Surah al-Baqarah: 269) Katakanlah (wahai Nabi Muhammad), “Kamu beriman kepada al-Qur’an atau kamu tidak beriman (sama sahaja bagi Allah) kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Qur’an kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyu’ kerana mengaku kebesaran Allah dan kebenaran firman-firmanNya).” (Surah al-Israa’: 107) Tafsirnya: Maka mereka berdua pun bertemu seorang hamba daripada hamba-hamba Kami yang Kami kurniakan kepadanya rahmat dari sisi kami, dan Kami telah mengajarkannya ilmu (ladunniy) dari sisi Kami. (Surah al-Kahfi ayat: 65) Tafsirnya: Dan supaya orang-orang yang dikurniakan ilmu mengetahui bahawa al-Qur’an itu benar daripada Tuhanmu lalu mereka beriman kepadanya, maka hati mereka pun tunduk patuh kepadanya. Dan sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus. (Surah al-Hajj: 54) Tafsirnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu kepada Nabi Daud dan (anaknya) Nabi Sulaiman  dan mereka berdua berkata: “Segala pujian untuk Allah yang (dengan limpah kurniaNya) telah melebihkan kami atas kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman.” (Surah an-Naml: 15) Tafsirnya: Dan apabila Nabi Musa cukup dewasa (sempurna kekuatan badan dan akal) Kami kurniakan kepadanya kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan. Dan demikian Kami kurniakan ganjaran kepada orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah al-Qasas: 14) Tafsirnya: Dan orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan mengetahui (bahawa keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu  itulah yang benar dan yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji. (Surah Saba’: 6) Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (daripada kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (Surah Al-Mujaadalah: 11)
Attachments