Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Perasmian Majlis Ilmu 2015 Sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-69 Tahun

TITAH


KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI 
WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


DI PERASMIAN MAJLIS ILMU 2015
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA
YANG KE-69 TAHUN

PADA HARI ISNIN
27HB MUHARRAM 1437
09HB NOVEMBER 2015


BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh


Bismillahir Rahmanir Raheem


Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen,

Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Alihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.


Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadir di majlis yang bersukut baik ini.


Beta sangat teruja mengalu-alukan kehadiran para Tetamu Khas dari luar negara yang telah sudi bersama-sama memeriahkan majlis ini dan juga ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penganjur Bersama, Negara Brunei Darussalam dan Rabitah al-‘Alam al-Islami serta para pembentang kertas yang terdiri daripada para ilmuan di dalam dan luar negara.


Beta melihat Majlis ini adalah sangat-sangat bermakna dari sudut semangat dan tujuannya, untuk memenuhi tuntutan ugama, supaya kita mengadakan permuzakarahan dan perbincangan dalam bidang-bidang keilmuan.


Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab para ilmuan bagi menghidupkan ilmu itu dan menghidangkannnya kepada umum.


Masyarakat sangat berhajat kepada ilmu, kerana ilmu itu adalah suluh yang menerangi kehidupan dan santapan bagi rohani.


Ilmu tidak akan mekar tanpa digilap. Adapun perbincangan ataupun permuzakarahan adalah salah satu cara menggilap ilmu.


Oleh itu Beta amat gembira kerana Brunei Darussalam pada hari ini turut menyumbang ke arah menggilap ilmu itu.


Beta berharap, para ilmuan yang terlibat dengan ‘Usaha Besar’ ini akan dapat merealisasikan peranan mereka selaku da’i, guru dan pembimbing yang dirahmati Allah.


Sepatah kata yang dituang ke atas kertas atau ucapan oleh lidah adalah ia 'cahaya' dari ilmu, dan bayangkan, kalau kata-kata itu terbentuk menjadi sebuah kertas kerja atau ucapan panjang, maka tidak syak lagi ia adalah cahaya berlapis cahaya.


Demikianlah hebatnya ilmu itu. Beta tidak ragu, majlis pada hari ini dan yang berikutnya untuk beberapa hari selanjutnya, insya Allah akan dapat menghasilkan rumusan-rumusan yang berguna untuk jadi rujukan dan panduan kita bersama.


Beta suka menyarankan supaya para ilmuan perlu berdiri teguh selaku ilmuan sejati, untuk menulis dan bercakap, semata-mata berlandaskan ilmu pengetahuan jua, tanpa dipengaruhi oleh lain-lain elemen.


Tentang WASATHIYYAH, kita sudah banyak mendengarnya, tetapi menurut hemat Beta, tidaklah salah kalau kita terus memperkatakannya, berdasarkan, ilmu itu adalah amat luas, tiada sempadannya.


Demikianlah, kita boleh saja terus menggali apa yang ada dalam wasathiyyah itu. Apa ia yang sebenarnya? Apa isi dan falsafahnya? Semua itu sangat mustahak dan berguna untuk diketahui.


Andainya terdapat sebarang perbezaan pendapat, maka itu adalah perkara biasa, dan malah oleh ugama, ia masih dianggap rahmat. Namun ugama sendiri juga membimbing, supaya orang-orang yang bercanggah pendapat jika ada hendaklah mereka itu kembali kepada al-Qur'an dan al-Hadits.


Adapun tunduk kepada al-Qur'an dan al-Hadits itu, memang ia dituntut oleh ugama sebagai wajib. Kerana inilah sahaja satu-satunya jaminan, untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.


Namun sayugia diingat, di sana terdapat banyak ayat al-Qur'an dan al-Hadits yang tidak jelas pengertiannya, yang memerlukan tafsiran. Lalu untuk itu, iapun sangat mustahak untuk ditafsir. Tetapi sungguhpun begitu, bukanlah dengan sesuka hati membuat tafsiran, melainkan patut diserahkan kepada mereka yang layak dan berhak melakukannya, terdiri dari kalangan para ulama muktabar dan ahli tafsir jua.


Di sinilah kita perlu melihat, mana tafsiran yang benar-benar mengikut kaedah atau formula keilmuan dan mana yang tidak. Ini boleh dibezakan dari sudut 'kaca mata'. Kaca mata ulama dan kaca mata bukan ulama tentu saja ia berbeza


Maka oleh itu, kenalah kita orang-orang Islam perlu bersikap lebih bijaksana dalam membuat penilaian, dan cara terbaik membuat penilaian itu ialah dengan berpandukan kepada sumber-sumber asal al-Qur'an dan al-Hadits serta qaul ulama.


Beta penuh percaya, jika ia diikut, dengan semua pihak bersedia menerima persepsi yang benar, maka impaknya adalah hebat untuk kebaikan bersama.


Sebagai cara menagih berkat, turut mengisi Majlis Ilmu 2015 ini ialah Upacara Memulakan Penulisan Mushaf al-Qur'an Kolej Univerisiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). Semoga dengan ini Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan hidayah-Nya untuk kita semua. Amin.


Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli ‘Alaa Sayyidina Muhammad Wa ‘Alaa Aali Sayyidinaa Muhammad, Beta dengan sukacita melancarkan Penulisan Mushaf KUPU SB dan sekaligus merasmikan Majlis Ilmu 2015 berserta semua acara di dalamnya.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Attachments