Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-3, 1436 Hijrah / 2015 Masihi

‚ÄčTITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MAHRUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL
KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA
BRUNEI DARUSSALAM


SEMPENA

SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KE-31

TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI


PADA HARI AHAD
04HB. JAMADILAWAL 1436
22HB. FEBRUARI 2015


Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala diatas limpah rahmatNya mengizinkan kita dapat meraikan pula Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-31.

Pada tahun ini kita masih saja dalam tema: "Generasi Berwawasan", untuk sambutan Hari Kebangsaan kita yang ke-31.

Tema ini cukup sesuai untuk diteruskan, kerana hakikatnya kita adalah masih dalam usaha untuk merealisasikan wawasan Negara iaitu Wawasan Brunei 2035.

Untuk berjaya, generasi penerus perlulah berwawasan dengan melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang.

Diantara cabaran itu ialah memelihara keamanan, suatu kurnia daripada Allah, yang pada sekian lamanya telah kita nikmati bersama-sama. Dengan adanya keamanan tersebut, maka dapatlah kita menjalani kehidupan ini dengan penuh selesa serta dapat juga menyusun dan melaksanakan pelbagai rancangan kemajuan, sehingga kemudiannya menghasilkan buah yang lazat, berupa kemakmuran dan kesejahteraan.

Bercakap mengenai keamanan juga, Beta ingin menekankan disini, bahawa ianya adalah tanggungjawab semua pihak, bukan diserahkan kepada pihak-pihak keselamatan dan agensi-agensi penguatkuasaan sahaja. Malah orang ramai juga adalah perlu memberikan kerjasama yang erat dan padu.



Salah satu anasir yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan, ialah penyalahgunaan dadah. Dalam konteks ini, agensi-agensi kerajaan, orang ramai, ibu-bapa, pihak sekolah, organisasi bukan kerajaan dan pemimpin akar-umbi hendaklah bersatu tujuan memupuk kesedaran dan menggandakan lagi usaha memerangi penyalahgunan dadah itu.

Pendidikan generasi muda di rumah dan di sekolah juga jangan diabaikan. Kerana pendidikan itu, terutama pendidikan ugama, adalah tonggak untuk memperolehi kekuatan.

Keamanan juga turut berkait rapat dengan kemajuan ekonomi. Realitinya, kita ini adalah terdedah kepada persaingan sengit dalam konteks globalisasi, perhubungan cyber dan inovasi.

Persaingan ini terbuka luas dalam bentuk perdagangan bebas, pelaburan langsung luar negeri, pasaran tenaga manusia, kemajuan keusahawanan dan perhubungan online.

Kerana itu, kita perlu mempunyai daya-saing yang tinggi melalui nilai-nilai, sikap dan pemikiran untuk menjadikan kita mampu berdikari dan menyara kehidupan tanpa banyak bergantung kepada bantuan-bantuan.

Untuk itu, kita mesti cepat berubah dan membuat adaptasi yang bersesuaian, supaya kita tidak terus tertinggal di belakang.

Satu keperluan mesti diceburi ialah amalan berjimat cermat dan menjadikannya budaya. Budaya ini adalah satu nilai penting yang perlu dipupuk oleh semua pihak. Lebih-lebih lagi disaat-saat pendapatan berkurangan.

Kebergantungan ekonomi kepada satu sektor sahaja adalah dianggap tidak berdaya-tahan. Kita perlu mempelbagaikan ekonomi sebagai persiapan menutupi masa-masa sukar yang tidak diduga.

Antara cara berkesan melipatgandakan usaha, ialah dengan menarik lebih banyak pelaburan langsung luar negeri (FDI) dalam sektor bukan minyak dan gas, memperbaiki suasana pelaburan dan perusahaan, mempermudahkan tata-cara penubuhan dan perjalan perusahaan, menyediakan infrastruktur fizikal dan memperkasa modal insan.

Keperluan, yang juga tidak usah diabaikan ialah penyediaan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor swasta. Pihak kerajaan telahpun menyediakan dasar dan program untuk memperlengkap tenaga tempatan dengan kebolehan dan kemahiran yang diperlukan. Namun tidak ramai yang mahu berlumba untuk mengisikan peluang-peluang yang sedia ada.

Mengapa ini berlaku? Mungkin sahaja kerana mereka belum dapat melepaskan diri dari belenggu 'comfort zone' dalam mana kebanyakan anak-anak tempat kita masih terlalu berharap kepada sektor kerajaan untuk pekerjaan.

Semua ini perlu dicari penyelesaiannya.

Menyentuh mengenai keusahawanan, pada 1 Januari, 2015 yang baru lalu, Beta telahpun memperkenankan pindaan ke atas Akta Lesen Rampaian (Pindaan) 2015 yang antara lain memperuntukkan bagi Lesen Rampaian digantikan dengan Lesen Perniagaan.

Alhamdulilah, Beta mendapat maklum bahawa dengan pindaan tersebut, lesen perniagaan sekarang boleh diperolehi dalam tempoh satu hari sahaja. Di samping itu, permohonan dan kebenaran bagi pendaftaran syarikat juga boleh dibuat secara online. Beta berharap peluang yang terbuka ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua generasi muda kita.

Akhirnya, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-31 Hari Kebangsaan dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan acara ini.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua lapisan rakyat termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, meliputi mereka yang bertugas di luar Negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan Negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments