Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Ke-27 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

‚Äč

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-27 UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)

 PADA HARI RABU
25 ZULKAEDAH 1436 BERSAMAAN 9 SEPTEMBER 2015

BERTEMPAT DI
DEWAN CANSELOR UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dapat pula bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-27 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini. 

Beta dengan sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing di universiti ini. Beta berharap dengan kejayaan ini, para graduan akan dapat menjadikannya sebagai pendorong untuk meningkat ketahap yang lebih tinggi.

Beta mengambil maklum, dalam majlis konvokesyen pada tahun ini, seramai 20 orang graduan akan menerima Ijazah Kedoktoran, satu jumlah yang paling besar berbanding tahun-tahun yang lepas. Beta berharap UBD akan terus menjadi destinasi pilihan yang mampu untuk menarik mint pelajar-pelajar cemerlang bagi meningkatkan lagi pembelajaran dan penyelidikan mereka di UBD.

Selain dari itu, Beta juga difahamkan bahawa pada tahun ini adalah konvokesyen yang julung kali bagi program flagship Sarjana Dasar Awam dan Pengurusan (Master of Public Policy and Management) yang mengumpulkan 15 orang graduan dari dalam dan luar negara, termasuk penerima biasiswa Kerajaan Beta dari East Asia Summit Participating Countries.

Di samping itu, Beta juga difahamkan terdapat pelajar bagi program ini, yang berjaya menjadi pelajar paling cemerlang (top students) semasa berada di penempatan selama satu semester di universiti-universiti terkemuka di Amerika Syarikat yang menjadi satu komponen program ini. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap kualiti sistem pendidikan di UBD. Perkembangan ini sudah setentunya mampu untuk menaikan lagi imej dan visibility UBD.

Menyentuh tentang visibility universiti, Beta bersyukur melihat UBD telah banyak membangun dan mempertingkatkan usaha untuk mencapai aspirasi yang dihajati selari dengan usianya yang hampir mencecah 30 tahun. Ini termasuk pencapaian UBD sebagai universiti paling cepat meningkat dalam QS Asia University Ranking pada tahun ini. Namun di sebalik pencapaian itu, Beta ingin mengingatkan bahawa banyak lagi aspek yang penting yang juga perlu diambil kira untuk menyukat sesuatu kejayaan, seperti kebolehpasaran atau marketability para graduan serta hasil-hasil penyelidikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Mengenai marketability diperingkat global pula, ianya dapat dilihat sebagai memberi gambaran, bahawa pertambahan dikalangan para graduan boleh menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat, kerana dengan pertambahan tersebut, peluang pekerjaan atau pasaran kerja dengan sendirinya semakin kompetitif. Namun faktor inovasi yang terdapat pada kurikulum GenNext kita dan inisiatif penerapan nilai keusahawanan terhadap pelajar adalah memberi harapan besar untuk lahirnya generasi proaktif, yang berdaya tahan serta tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan.

Dalam usaha menangani isu pengangguran kini, Beta menyeru agar semua pihak dapat sama-sama berganding bahu dan bersepakat untuk melaksanakan pendekatan "a whole of nation approach" bukan terhenti pada pendekatan "a whole of government approach".

Insitusi-institusi pengajian tinggi juga perlu untuk menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam mencari sumber alternatif kewangannya, seperti membuat kolaborasi dengan pihak industri, supaya sesuatu aktiviti itu dapat dikongsi sama, serta outcomenya juga mampu untuk membuahkan hasil bagi semua.

Menyentuh mengenai perkhidmatan yang berkualiti tinggi, Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik yang ada, sepatutnya dijadikan pendorong yang kuat untuk para ahli akademik kita meningkatkan lagi mutu pengajaran dan penyelidikan mereka.

Khasnya ahli-ahli akademik tempatan kita, rebutlah peluang membina diri dengan memperkasa kebolehan dan kepakaran, mengasah bakat dan menampilkan diri demi ilmu, bukan dengan menyorok di bilik-bilik kuliah sahaja. Adapun masyarakat dan negara sentiasa menunggu mereka, dan ingin untuk mendengar dan membaca dari mereka.

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya. Beta ingin menasihatkan supaya setiap graduan akan sentiasa mempertahankan jatidiri, warisan, integriti serta mengekalkan identiti ke Bruneian yang berpaksikan Melayu Islam Beraja (MIB). Kemajuan dan perkembangan negara hendaklah disertai dengan kerohanian yang teguh.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan Universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah jua yang diharapkan untuk mengurniakan ganjaran-Nya kepada mereka berupa rahmat dan pahala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments