Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Majlis Musabawah Tilawah Al-Qu'ran Belia Asia Tenggara Kali Ke-7 Tahunun 1436 / 2015

‚ÄčTITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH
IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL
KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

DI MAJLIS MUSABAQAH TILAWAH
AL-QU'RAN BELIA ASIA TENGGARA KALI
KE-7 TAHUN 1436 / 2015

PADA
HARI KHAMIS (MALAM KETIGA)
4HB. ZULHIJJAH 1436
17HB. SEPTEMBER 2015

BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa
Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Terlebih dahulu Beta ingin mengucapkan selamat datang kepada para belia dari negara-negara ASEAN yang menyertai Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Belia Asia Tenggara Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi.

Beta juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Belia Asia Tenggara bagi tahun 1436 / 2015 dan juga kepada semua peserta lain yang telah menunjukkan semangat perpaduan ASEAN.

Pertemuan belia-belia ASEAN dalam musabaqah kali ini adalah bertepatan dengan tahun pembentukan Komuniti ASEAN di penghujung tahun 2015. Golongan belia Islam ASEAN tidak syak lagi, mempunyai peranan penting terhadap pengisian kelangsungan pasca Komuniti ASEAN. Ia turut menyumbang untuk memperkukuhkan lagi perpaduan ummah dan mempertingkatkan keamanan serantau.

Penglibatan golongan belia dalam kerja-kerja kebajikan adalah amat diperlukan, bukan sahaja untuk kepentingan masing-masing, malahan juga untuk kepentingan bersama seluruh warga di rantau ini. Belia adalah penggerak dan pemangkin serba mampu untuk melakukan apa jua yang terbaik bagi bangsanya. Kerana itu, kelebihan yang ada ini, perlulah dibuktikan oleh para belia.

Para belia mampu untuk mendatangkan impak yang besar kepada pembangunan masyarakat ASEAN, meliputi semua bidang, seperti bidang pendidikan, ekonomi, kemahiran, penguasaan teknologi dan juga kerohanian.

Namun yang jelas, kaum belia juga sedang mendepani cabaran globalisasi yang sengit, yang menghidangkan pelbagai budaya serta persekitaran sosial yang cepat berubah. Jika belia tidak mempunyai pegangan dan keyakinan diri, maka tunggulah akibat di luar jangkaan.

Bagi belia-belia muslim pada khususnya, akibat di luar jangkaan itu mungkin saja berkaitan dengan akidah atau aliran kefahaman berugama. Pada ketika ini nampaknya banyak berlaku pemusingan atau salah tafsiran terhadap Islam, yang di mana belia adalah sasaran utamanya.

Di sinilah pentingnya "kesedaran diri" bagi orang Islam. Jadikanlah diri kita benar-benar muslim sejati, di mana pun kita berada. Tanda muslim sejati itu boleh terimbas dari identiti dan pendirian kita. Jika pendirian itu sering terumbang-ambing atau mudah terikut-ikut, maka itu tandanya, peribadi belumlah kukuh. Peribadi yang kukuh adalah milik muslim sejati.

Selaku pelengkap pula,para belia muslim, perlulah memiliki ilmu, khasnya ilmu yang berkaitan dengan Al-Qur'an dan Al-Hadits. Kerana pada kedua-dua ilmu inilah, ditentukan status kita umat Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, sebagaimana maksud Hadits, bunyinya:

" Sebaik-baik kamu ialah siapa yang mempelajari Al-Qur'an dan Al-Hadits."

Dengan adanya ilmu Al-Qur'an dan Al-Hadits itu di dada setiap belia kita, insya Allah, rantau kita ini akan beroleh kekuatan dan keselamatan, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments