Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-25 Bagi Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU KE-25 
BAGI TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI


PADA HARI RABU
23 SEPTEMBER 2015 / 9 ZULHIJJAH 1436

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Sambutan Hari Guru Ke-25 Tahun 2015 pada pagi ini. 

Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru, sama ada yang bertugas di sektor kerajaan mahu pun swasta. 

Beta turut mengambil maklum bahawa Sambutan Hari Guru pada tahun ini membawa   tema : “Guru Pemangkin Insan Berwawasan”.

Ini selaras dengan wawasan Paduka Ayahnda Beta, Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang telah mentransformasi pendidikan itu sebagai peluang untuk semua lapisan masyarakat dapat merebutnya. Baginda menitikberatkan pendidikan secara holistik, di mana pembelajaran ugama Islam diberikan keutamaan. 

Pandangan jauh Baginda ini membawa cemerlang syiar Islam dan memberi impak kepada kemakmuran.

Pendekatan pendidikan holistik ini, kita perkukuhkan lagi dengan menjadikan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam sebagai salah satu mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan negara dan pelaksanaan Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2013. Oleh yang demikian Beta mengingatkan, supaya dasar-dasar ini jangan saja ia berdaulat di atas kertas, tetapi hendaklah benar-benar dilaksanakan. 

Matlamat kita ialah melahirkan generasi berugama dan progresif. Maka untuk tujuan ini, tidak diragukan lagi, turut di perlukan ialah guru-guru berwawasan, yang memiliki ciri-ciri kepimpinan berkesan. 

Sehubungan ini, Beta menyambut baik inisiatif berterusan Kementerian Pendidikan untuk memantapkan kualiti kepimpinan di peringkat sekolah. 

Bagi kepentingan ini, pembangunan melalui latihan guru juga adalah perlu, kerana kualiti seorang guru bukan saja diukur dari kebolehannya mengajar dengan pedagogi, malahan turut menyangkut juga ialah faktor kerohanian, selaku sifatnya role model kepada pelajar. Oleh itu, keberkesanan pendidikan atau latihan perguruan itu perlulah diteliti dan dinilai selalu. 

Atas asas ini, Beta turut mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan untuk menilai kompetensi guru-gurunya melalui Teacher Performance Appraisal atau TPA yang dibentuk dengan merujuk kepada Brunei Teacher Standard yang dilancarkan pada tahun 2014. Dengan inisiatif ini, para guru akan lebih mengetahui sejauh mana tahap kebolehan mereka dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. 

Dalam hubungan ini, Beta ingin menyarankan supaya pembangunan guru dapat dilakukan dari awal pengambilan guru lagi. Dengan ini, Institute Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah di Universiti Brunei Darussalam dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, perlulah senantiasa memastikan program-program mereka adalah berkualiti tinggi. 

Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini dan berdo’a semoga segala penat lelah, pengorbanan dan sumbangan para guru sekalian akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua. 

Kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berharap, anugerah seumpama ini akan turut menjadi inspirasi dan motivasi bagi guru-guru yang masih berkhidmat pada masa ini. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Attachments