Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Kali Ke-5 Tahun 1436 Hijrah / 2015 Masihi

TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
KONVOKESYEN KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
KALI KE-5
TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI

PADA HARI SABTU
10 OKTOBER 2015 / 26 ZULHIJJAH 1436

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Kali Ke-5 pada pagi ini.

Beta dengan amat sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan, di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Perlu diingat, KUPU SB adalah ibarat kilang untuk mendapatkan penghasilan yang terbaik. Ini sangat bersesuaian, nisbah dengan namanya sendiri yang disandarkan kepada ugama.

Atas nama ugama itu, KUPU SB adalah pemegang amanah utama bagi melahirkan sumber tenaga yang benar-benar ‘arif ugama.

‘Arif ugama di sini termasuklah ilmu itu perlu mantap di dada, dan jika ia tumpah di atas kertas pun masih saja seperti itu juga.

Kita tidak mahu ilmu ugama itu dibayangi oleh budaya semasa, kerana budaya bukanlah ugama, lebih-lebih lagi jika budaya itu memang bertentangan dengan ugama.

Termasuk juga di sini penggunaan-penggunaan kaedah atau istilah, yang asalnya datang daripada orang lain, hendaklah dipastikan ianya tidak menyalahi ugama.

Kerana kita tahu, orang ugama pun kadang-kadang tidak menghayati nilai-nilai ugama, seperti turutan-turutan membuang kupiah, dan jika menulis buku atau kajian dan lain-lain, tidak mahu mengikut sunnah, seperti memulai dengan Bismillah. 

Ini semua jika berlaku kepada KUPU SB, tidak diragukan lagi ianya adalah satu tragedi.

Semua graduan dan guru ugama perlu ingat, bahawa ilmu dan pengalaman berharga yang mereka perolehi adalah amanah untuk dicurahkan kepada masyarakat.

Sebagai motivasi, negara telah memperkenalkan Skim Perkhidmatan Guru (SPG) kepada guru-guru, semenjak beberapa tahun yang lalu. Namun kita masih lagi belum mendengar tentang Skim Perkhidmatan Guru Ugama. Oleh itu, ada baiknya jika perkara ini diambil perhatian oleh pihak berkenaan.

Dalam era serba mencabar ini, semua orang khasnya anak-anak adalah sentiasa terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif, yang menjadi punca utama berlakunya pelbagai gejala sosial.

Masalah ini tidak boleh tidak, menjadikan peranan guru ugama adalah semakin diperlukan.

Kita tidak boleh lagi berfikir secara mundur ke belakang, tetapi kita perlu berfikir jauh lebih maju ke hadapan.

Bermacam-macam jenis penyakit sedang menyerang, termasuk penyakit yang sangat payah dikawal yang bernama ‘penyakit rohani atau akhlak’. Penyakit ini begitu cepat berkembang, memerlukan kebolehan atau kepakaran luar biasa untuk merawat dan bahkan mencegahnya.

Duduk paling depan sekali ialah guru-guru ugama, dan inilah tujuan KUPU SB ditubuhkan untuk melahirkan guru-guru ugama yang berkualiti, yang mempunyai kebolehan atau kepakaran dalam mendidik dan mentarbiah anak bangsa.

Mereka tidak dapat lagi mengelak tanggungjawab ini. Inilah kerja asasi mereka. Malah inilah perjuangan suci mereka.

Beta sangat gembira mengetahui bahawa KUPU SB sedang menyusun semula program dan kurikulumnya supaya lebih relevan dan efektif dalam konteks latihan perguruan. Ini memang penting, untuk tujuan mengemas dan melengkapkan diri.

Beta juga mengambil maklum dengan kegiatan-kegiatan intelektual dan kebajikan KUPU SB, di dalam dan luar negara, seperti pertukaran pelajar dan kegiatan dalam Consortium of Asia-Pacific Education Universities dan Asia-Pacific University-Community Engagement Network serta juga merindangkan lagi hubungan persefahaman dan kerjasama dengan pusat-pusat pengajian tinggi luar negara.

Apa yang Beta harapkan, KUPU SB bukan sahaja mengambil manfa’at terbaik dari pengalamannya dengan pusat-pusat pengajian tinggi luar negara, bahkan KUPU SB juga mesti turut menyumbangkan pengalamannya yang ‘tersendiri’ selaku sebuah institusi Perguruan Islam di rantau ini.

Menyebut peranan KUPU SB dan guru ugama dalam pendidikan, belumlah lengkap rasanya kalau tidak disebut juga peranan ibu bapa. Kerana ibu bapa itu adalah wadah semula jadi untuk mendidik.

Ini dapat dikesan dari hadith Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam yang bermaksud: “Tiada seorangpun dari anak yang dilahirkan, melainkan keadaannya adalah putih lagi bersih. Lalu kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”.

Lihatlah, betapa kuat dan besarnya pengaruh serta budibicara ibu bapa itu. Jika mereka menginginkan putih untuk anak-anak, maka putihlah anak-anak itu, demikian juga sebaliknya. Manakala pengaruh dan budibicara para guru pula tidaklah sampai begitu keadaannya.

Namun dua-dua institusi, ibu bapa dan guru ini, sangat mustahak untuk berganding bahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang besar ini.

Akhirnya, Beta dengan amat sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, Pegawai-Pegawai Utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala khidmat dan sumbangan mereka. Semoga mereka mendapat ganjaran lumayan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Attachments