Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ketiga Bagi Graduan Ijazah Dan Majlis Konvokesyen Bagi Graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan Kali Ke-24 Institut Teknologi Brunei (ITB)

TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADULKHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

DI MAJLIS KONVOKESYEN KALI KETIGA BAGI
GRADUAN IJAZAH DAN MAJLIS KONVOKESYEN BAGI GRADUAN
DIPLOMA TERTINGGI KEBANGSAAN KALI KE-24
INSTITUT TEKNOLOGI BRUNEI (ITB)

PADA HARI SABTU
18HB MUHARRAM 1437
31HB OKTOBER 2015

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir ke Majlis Konvokesyen Institut Teknologi Brunei (ITB) Tahun 2015.

Mula-mula, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah ini juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa meniupkan semangat cintakan ilmu kepada para graduan.

Beta difahamkan bahawa majlis konvokesyen kali ini akan menyaksikan penganugerahan sulung bagi program Ijazah Sarjana secara penyelidikan atau Masters by Research yang merupakan satu lagi pencapaian cemerlang bagi ITB. Beta juga mengambil maklum bahawa kemasukan pelajar ke ITB dari dalam dan luar negara bagi program lepasan ijazah telah meningkat dua kali ganda pada tahun ini berbanding tahun lepas. Ini menunjukkan peningkatan keyakinan terhadap ITB.

Memang perlu bagi ITB bercita-cita lebih tinggi untuk mendapatkan kedudukan, sebanding dengan institusi-institusi terkemuka dunia. Untuk ini ITB perlu mempunyai keazaman dan sistem pengajian yang berkualiti.

Ini semakin relevan, dengan negara turut mengalami tempias iklim ekonomi global yang tidak menentu. Kita mahu generasi masa kini mempunyai pendidikan tinggi untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan.

Sehubungan dengan ini, adalah wajar bagi ITB untuk memberikan keutamaan dengan menawarkan kursus-kursus yang leading edge bagi memastikan pengeluaran graduannya mampu untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beta dengan ini menyarankan agar ITB dan institusi-institusi pengajian tinggi lainnya melibatkan stakeholders yang berkaitan, supaya segala inisiatif, seperti pendidikan dan penyelidikan akan sentiasa relevan dan menyeluruh.

Menyentuh penglibatan stakeholder, Beta gembira mengetahui bahawa terdapat pihak industri dari dalam dan luar negara yang menerima pelajar-pelajar ITB bagi tujuan  penempatan, yang dipanggil ExperiencePlus dengan perbelanjaan ditaja sepenuhnya oleh industri atau dikongsisama oleh ITB. Melalui pendekatan hands on ini, akan melengkapkan lagi para graduan untuk menjadi graduan job-ready.

Di samping itu, Beta juga suka menyarankan agar ITB dan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain terus berganding bahu dan bekerjasama dengan industri, sektor perniagaan dan stakeholder kerajaan dalam mengembangkan ekosistem penyelidikan dan perkembangan.

Universiti tidak diragukan lagi memainkan peranan penting dalam membina bakat atau talent untuk menjana ekonomi negara. Sebab itu Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik  yang sedia ada, adalah dihasratkan untuk mereka yang benar-benar layak sahaja. Ini penting, kerana impaknya memberi kesan besar dan langsung kepada pencapaian visi ITB serta menjadi pemangkin kepada pembangunan insan dan negara.

Secara khusus, Beta ingin menyebut di sini peranan pendidikan dalam negara sedang membangun. Tidak diragukan lagi, Brunei kini adalah sebuah negara sedang membangun dan selaku negara sedang membangun, sasaran utamanya ialah untuk mencapai taraf “negara maju”.

Dalam menuju sasaran ini, negara tentu saja memerlukan pelbagai rancangan kemajuan, termasuk rancangan dan pelaksanaan di bidang pendidikan.

Maka dalam kesempatan ini, Beta ingin mengingatkan, supaya pihak berkenaan, janganlah sekali-kali terbabas daripada landasan luhur: MIB, apabila kita merancang sesuatu rancangan untuk pendidikan.

Demikian juga, apa-apa yang sudah sedia ada, janganlah lalai daripada mengulang kaji. Mana-mana yang baik dikekalkan, tetapi jika terdapat sesuatu yang bertentangan dengan falsafah atau konsep MIB, maka itu semua tidaklah wajar didiamkan, melainkan ianya perlu diulang kaji semula dan diperbaiki.

Akhirnya, Beta sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang sama-sama kita raikan pada pagi ini. Beta juga penuh berharap dengan kejayaan ini, para graduan akan menyumbangkan khidmat, bukan sahaja kepada kerajaan malahan juga kepada ugama, bangsa dan negara.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga dirakamkan kepada semua warga Institut Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala pengorbanan mereka, dengan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian Wabillahit Taufeq Walhidayah, wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Attachments