TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
TAHUN BARU HIJRAH 1442
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillahi
Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Syukur
ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengurniakan nikmat-Nya
berupa peluang untuk kita dapat pula menyambut kedatangan Tahun Baru
Hijrah 1442.
Menyambut
Tahun Baru Hijrah, bererti kita menyingkap balik lembaran sejarah
Hijrah, dan bertolak dari sinilah, umat Nabi Muhammad Shallallahu
‘Alaihi Wassalam telah bangkit membina tamadunnya yang gilang-gemilang.
Tamadun
yang hebat, tidaklah ia mesti dibina dari matabenda, tetapi asasnya
adalah ‘kemuliaan’ dalam kehidupan. Kerana itu, akhlak atau keperibadian
yang baik adalah menjadi keutamaan, sebagaimana Nabi Shallallahu
‘Alaihi Wassalam sendiri menjelaskan akan tujuan Baginda diutus, dengan
sabda Baginda, bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus ialah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Di
antara ciri-ciri akhlak mulia itu sangat ketara menjadi pakaian
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dan juga para sahabat ketika
hijrah. Pada diri Baginda Rasulullah, terserlah akhlak yang mulia lagi
terpuji, seperti berani, sabar dan tidak berganjak dari melaksanakan
perintah Allah. Sementara sahabat-sahabat yang terlibat dalam misi
Hijrah juga turut menampakkan akhlak yang luhur menjadi pendokong dan
penyokong kuat kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam.
Tidak
syak lagi, peristiwa hijrah adalah mengandungi banyak pengajaran untuk
dicontohi, seperti mencontohi akhlak Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam
dalam menanai perintah Allah, dengan Baginda itu sedikitpun tidak ragu
atau takut, sekalipun jalan yang ditempuh sangat sukar dan merbahaya.
Dalam
dunia yang penuh dengan pancaroba ini, sangat mustahak bagi umat Islam
untuk berpegang kuat kepada nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh Nabi
Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dan para sahabat Baginda. Adapun akhlak
teragung Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam ialah Al-Qur’an,
dalam makna, semua ajaran Al-Qur’an itu adalah cara hidup Baginda yang
wajib dicontohi dan diikut oleh seluruh umat.
Tidak
diragui lagi, sejarah hijrah adalah ‘guru’ bagi kehidupan. Kita boleh
belajar daripadanya tentang apa jua, seperti tentang kepimpinan,
pengorbanan, kesetiaan, kesabaran dan lain-lain.
Inilah hebatnya hijrah itu, makanya, kitapun perlu menperingatinya.
Di
Brunei Darussalam, kita memperingati hijrah dengan berkumpul di
masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat, dengan acara antara
lain: Membaca Do’a Akhir Tahun, Sembahyang Maghrib Berjama’ah, Membaca
Do’a Awal Tahun dan lain-lain.
Kita
juga menggalakkan supaya diadakan ceramah-ceramah, menerusi radio dan
televisyen, sebagai cara, untuk memperkaya pengetahuan mengenai hijrah
atau apa jua yang dapat diambil pengajaran daripadanya.
Seyogia
mengenai ceramah ini, ia diharapkan akan dapat disampaikan dengan cara
yang baik dan menarik serta mudah untuk difahami. Jika semua ini dapat
dicapai, maka barulah usaha kita yang demikian itu dapat dianggap
berbaloi. Beta yakin, perkara ini dapat diusahakan.
Mengakhiri
kalam, Beta dan sekalian ahli kerabat dengan tulus ikhlas mengucapkan
Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1442 kepada seluruh lapisan rakyat
dan penduduk di negara ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.