Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM Sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Bagi Tahun 1443H/2021M

‚Äč

TITAH PERUTUSAN
 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN
 MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1443H / 2021M
 
 
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua telah menyampaikan kita ke bulan yang bersukut istimewa, Rabiul Awwal, bulan diputerakan Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Dengan kehendak Allah Subhanahu Wata'ala jua, kita buat pertama kalinya tidak akan meraikan Sambutan Maulidur Rasul Shallallahu 'Alaihi Wasallam secara berhimpun             beramai-ramai kerana penularan wabak koronavirus. Namun kita masih saja dapat menyambutnya dengan cara yang bersesuaian dengan keadaan.

Ini tidak syak lagi adalah satu ujian berat yang belum pernah belaku. Namun kita selaku umat yang berakidah, wajiblah melihatnya sebagai ada hikmah disebalik itu. Tetapi kita sesungguhnya tidaklah tahu hakikat hikmah. Kerana itulah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216 bagi memberitahu kita akan kedudukan hikmah itu, tafsirnya:

         "... Boleh jadi sesuatu yang kamu benci (tidak sukai), padahal ia adalah baik bagi kamu, dan (begitu juga) boleh jadi sesuatu yang kamu suka, padahal ia buruk (tidak baik) bagi kamu. (Ingatlah), hanya Allah jua yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya".

Inilah pegangan yang betul untuk dipegang. Kita tidak dapat lari dari apa jua yang ditentukan oleh Allah, dan setiap ketentuan-Nya itu pastinya ada mengandungi hikmah.

Kita wajib mempunyai "sangkaan baik" terhadap Allah. Apa-apa jua yang ditentukan oleh-Nya adalah semua itu baik untuk kita. Kerana sesungguhnya Allah itu tidak pernah menzalimi sesiapa. Jika Dia mendatangkan satu-satu ujian, adalah ujian itu bukannya satu penzaliman, tetapi mungkin satu pengajaran atau sebagai cara untuk Dia (Allah) menambahkan lagi darjat seseorang, sekiranya seseorang yang diuji itu sanggup bersabar menerima ujian tersebut.

Demikianlah yang patut kita fahami mengenai satu-satu situasi yang berlaku. Namun untuk menghadapinya, kita tidak dikehendaki diam, tetapi disuruh untuk berikhtiar bagi memperolehi sesuatu yang terbaik.

Apakah jenis ikhtiar yang afdhal untuk kita lakukan? Jika merujuk kepada Al-Qur'an dan Al-Hadits, ikhtiar yang afdhal itu ialah "do'a". Kita disuruh berdo'a, samada dalam senang atau dalam susah. Kita berdo'a dalam senang, supaya dikekalkan kesenangan dan berdo'a dalam susah, supaya dihapuskan kesusahan.

Salah satu jenis do'a atau jenis zikir yang sangat tajam untuk menyampaikan hajat kita ialah "Selawat" ke atas Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Maka bersempena dengan kita menyambut Maulid Ar-Rasul ini, sangatlah wajar untuk kita membanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai do'a dan zikir untuk melepaskan atau membebaskan kita daripada musibah koronavirus.

Beta berharap, di samping meneruskan rancangan berupa bacaan-bacaan ayat suci al-Qur'an, do'a dan zikir yang sedang berjalan pada masa ini, maka khusus untuk sepanjang Bulan Rabiul Awwal ini, rancangan "Selawat" eloklah dibanyakkan dan lebih dikerapkan kemunculannya. Sementara orang ramai pula secara bersendirian janganlah ketinggalan untuk sama-sama mengamalkannya. Insya Allah, dengan berkat dan syafaat Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, Brunei Darussalam akan bebas dan bersih daripada wabak koronavirus. Amin. Allahumma Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Attachments