Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Manage PermissionsManage Permissions

Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

‚Äč

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-10
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
 
PADA HARI ISNIN
08HB. SAFAR 1444
05HB. SEPTEMBER 2022
 
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.

Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

Beta juga merakamkan ucapan syabas di atas kejayaan UTB meraih kedudukan 340 di QS World University Rankings, kedudukan 85 di Asia dan 16 di Asia Tenggara. Manakala di antara universiti-universiti Kejuruteraan dan Teknologi di Asia Tenggara, UTB berada di tangga ke lima (5). Kejayaan ini menjadi bukti bahawa UTB mampu bersaing di rantau walaupun masih muda dalam arena antarabangsa.

UTB dilihat masih ada peluang untuk memperbaiki kedudukannya dengan menyusun semula strategi bagi menaikkan reputasi akademiknya, terutama dalam bidang penyelidikan. Sehubungan itu, Beta difahamkan bahawa UTB sedang giat memperkenalkan projek-­projek penyelidikan terkini yang sejajar dengan kepentingan negara.

Beta gembira, UTB telahpun memulakan projek penyelidikannya bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dalam Penanaman Padi Menegak atau Vertical Rice Farming yang berintegrasikan teknologi Internet of Things yang inovatif. Selain itu, pada tahun 2021 penerbitan kertas-kertas penyelidikan dari staf akademik UTB telah meningkat dan terus menampakkan perkembangan positif pada tahun 2022. Beta berharap perkembangan positif ini akan terus dikekalkan.

Menyentuh mengenai pandemik Coronavirus, Beta telah mendapati kesan positif pandemik terhadap transformasi digital di institusi-institusi pengajian tinggi kita, yang menyaksikan pembelajaran dan pengajaran telah dijalankan dalam talian secara sepenuhnya. Lalu berikutnya, Kerajaan Beta pun menyediakan infrastruktur internet jalur lebar yang pantas, untuk tujuan tersebut.

Beta difahamkan bahawa pada masa ini, pembelajaran dan pengajaran di UTB diteruskan dalam pelbagai kaedah, termasuk secara bersemuka, di dalam talian dan secara hybrid. Pengalaman ini boleh dijadikan sandaran untuk sentiasa adaptable dan resilient dalam menempuh cabaran serupa, di mana konsep Pandemic Proof University of the Future harus dipertimbangkan.

Beta juga difahamkan bahawa UTB akan menawarkan Postgradute Micro-credentials pada tahun akademik 2022-2023 ini, yang akan disasarkan kepada para profesional yang bekerja dan graduan-graduan baru. Program-program ini disifatkan sebagai Personalised Learners' Journey, di mana para pelajar setelah tamat, akan berpeluang menerima Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana dalam tempoh masa yang fleksibel. Beta amat gembira dengan perkembangan ini.

Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan di atas segala sumbangan dan khidmat mereka. Beta berdo'a semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments