Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

BIJAKSANA DAN BERSEDERHANA DALAM BERBELANJA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Harta merupakan amanah daripada Allah Subhanahu Wata'ala untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan bukannya untuk dipersiakan. Oleh itu, agama Islam telah mengajurkan kepada kita cara berbelanja dan mengurus harta itu dengan betul iaitu dengan penuh bijaksana, bersederhana dan tidak berlebih-lebihan ataupun membazir.

Perlu diingat, bahawa agama kita melarang dan menegah umatnya daripada perbuatan membazir. Sesungguhnya orang yang membazir itu diungkapkan daripada Al-Qur’an sebagai saudara syaitan dan syaitan itu pula amat suka kepada orang yang boros dan membelanjakan harta mereka mengikut hawa nafsu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Isra’ ayat 26 dan 27 tafsirnya:

“Dan janganlah engkau membazir (membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syarak) sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan) harga pada jalan yang menyalahi (syarak) itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Berbelanja bagi memenuhi keperluan kita itu tidaklah salah, akan tetapi kita hendaklah melakukannya menurut kemampuan dan mengutamakan keperluan bukannya mengutamakan kemahuan dan hawa nafsu. Oleh itu, kita perlu membuat perubahan sikap dengan menerapkan inisiatif baharu dalam hal ehwal pengurusan kewangan kita, iaitu:

Pertama: Muhasabah diri dalam perbelanjaan dan gaya hidup iaitu berbelanja mengikut kemampuan dan pada keperluan sahaja.

Kedua: Elakkan diri daripada berhutang lebih-lebih lagi berhutang bagi perkara-perkara tidak berfaedah dan tidak penting.

Ketiga: Mengamalkan budaya menabung. Ini kerana amalan menabung bukan sahaja dapat mendidik diri kita untuk berjimat-cermat, akan tetapi apa yang paling penting ialah amalan menabung itu dapat membantu ketika kita menghadapi situasi kecemasan dari segi kewangan tanpa perlu berhutang ataupun meminta bantuan daripada orang lain seperti jika berlaku hal-hal kecemasan, keperluan yang mendesak bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak, membaiki kereta rosak dan seumpamanya.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Harta yang kita miliki itu bukanlah hak milik mutlak kita semua, akan tetapi terdapat juga hak orang lain di dalamnya yang perlu kita tunaikan. Justeru, agama kita menggalakkan umatnya supaya melaksanakan konsep tolong-menolong dan bantu-membantu iaitu dengan mengeluarkan zakat, bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin, menolong anak-anak yatim dan seumpamanya, kerana dengan yang demikian akan dapat menimbulkan sifat hotmat menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain tanpa mengira darjat, keluarga, rakan, jiran sama da kita kenali ataupun tidak.

Sesungguhnya infak atau membelanjakan harta di jalan Allah Subhanahu Wata'ala seperti bersedekah dapat membantu dan melatih jiwa kita untuk menjadi orang yang sentiasa berbuat baik, prihatin, belas kasihan, jauh dari sifat sombong dan seumpamanya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 272 tafsirnya:

“Dan kamu tidak pula membelanjakan (sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan apa jua harta yang kamu belanjakan, akan disempurnakan (ganjaran pahalanya) kepada kamu. Dan kamu pula tidak dianiayai (tidak dikurangkan pahala).”

Akhirnya, amalkan sikap bijaksana dan bersederhana dalam berbelanja dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa melimpahkan rahmat yang berterusan, nikmat yang berkekalan dan memberikan petunjuk serta hidayahnya supaya kita dapat hidup dengan bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Hadid ayat 7 tafsirnya:

“Berimanlah kepada Allah dan rasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada harta kurniaannya yang dijadikan kamu sebagai penguasanya. Maka orang-orang yang beriman antara kamu dan membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah), mereka beroleh pahala yang besar.”

Attachments