Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

BERBUAT BAIK SESAMA JIRAN TETANGGA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 1 tafsirnya:

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuham kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam Alaihis Salam), Dia (Allah) menciptakan daripada pasangannya (Hawa), Dia (Allah) mengembang biakan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namanya kamu saling meminta serta (peliharalah) hubungan silaturrahim (kaum kerabat). Sesungguhnya Allah adalah Maha Menguasai (Memerhati) kamu.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Silaturrahim ialah jalinan ataupun ikatan hubungan yang dibina secara bersama-sama antara sesama keluarga, kaum kerabat, sahabat handai, rakan taulan, jiran tetangga dan seumpamanya.

Adapun mengeratkan hubungan silaturrahim itu ialah berbuat baik terhadap sesama manusia tanpa mengira agama, darjat mahupun bangsa. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menyatakan bahawa antara kesempurnaan dalam memperlengkap keimanan seseorang itu ialah dengan menjaga hubungan silaturrahim dan memuliakan jiran tetangga. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Berbuat baik dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga itu adalah amat penting bagi kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Dalam menjaga hubungan silaturrahim yang baik dengan jiran tetangga itu, kita hendaklah sentiasa menjaga dan mengamalkan akhlak yang mulia sebagaimana yang telah dianjurkan dalam agama kita.

Antara akhlak yang mulia itu ialah sikap bersopan santun dan berbudi bahasa seperti mengamalkan sikap saling tolong menolong, bertegur sapa, bertanya khabar, menjaga perasaan antara satu sama lain, saling hormat-menghormati, membantu jiran ketika ia memerlukan bantuan ataupun ketika jiran itu menghadapi kesusahan dan seumpamanya. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Dan Allah akan sentiasa membantu hambaNya selagi mana hamba tersebut membantu saudaranya. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Adapun bantuan yang kita hulurkan kepada jiran itu bukan hanya terbatas pada bantuan yang berbentuk kewangan dan material semata-mata, bahkan bantuan itu juga boleh dari segi tenaga, kerjasama dan buah fikiran.

Sebagai contoh ketika jiran kita mengadakan Majlis Kenduri, kita membantu dengan meminjamkan kawasan rumah, membersihkan kawasan halaman sekitarnya dan seumpamanya. Begitu juga, sekiranya jiran kita ditimpa musibah seperti ketika berlakunya kematian, kebakaran dan seumpamanya. Sesungguhnya amalan sebegini dapat memupuk sikap berkasih sayang dan memupuk budaya hormat-menghormati sesama jiran tetangga.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Berbuat baik dan menjaga hubungan silaturrahim dengan jiran tetangga itu adalah sangat penting. Ini kerana jiran itu umpama saudara yang dekat dan berada pada kedudukan yang paling mudah untuk kita saling bantu-membantu, apatah lagi dengan adanya sikap kemesraan dan saling pemedulian, ia dapat menjadikan kehidupan bermasyarakat dan bernegara itu lebih bersatu-padu dan harmoni serta jauh dari sebarang persengketaan dan permusuhan. Daripada Abdullah bin Amru Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik teman disisi Allah ialah orang yang baik terhadap sahabatnya. Manakala sebaik-baik jiran disisi Allah ialah orang yang paling baik dengan jirannya. (Hadis Riwayat Imam Termizi)

Dalam konteks berbuat baik dan menjaga hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga itu, janganlah sekali-kali kita menyakiti hati dan juga perasaan mereka, sama ada dengan tutur bicara mahupun dengan tingkah laku. Ini termasuklah dalam perkara menjaga kebersihan di kawasan kejiranan, antaranya seperti tidak membiarkan rumput atau pokok-pokok di halaman rumah itu terbiar sehingga menganggu kawasan atau halaman rumah jiran, membiarkan sampah-sarap berlonggok dan bersepah sehingga mengeluarkan bau yang busuk dan tidak menyenangkan.

Perlu diketahui, bahawa untuk menjaga ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran itu, kita hendaklah sentiasa peka dan mengamalkan sikap bertolak ansur dalam kehidupan berjiran seperti memberi laluan jalan kepada mereka, tidak membiarkan binatang ternakan dan haiwan peliharaan berkeliaran, apatah lagi memasuki kawasan dan halaman rumah jiran sehingga membuat kotor dan merosakkan harta benda mereka.

Selain itu, elakkanlah berbuat bising atau mengadakan acara hiburan yang keterlaluan sehingga larut malam yang boleh menyebabkan jiran kita itu berasa terganggu dan sukar untuk beristirehat. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menyatakan bahawa tidak akan masuk syurga orang-orang suka menyakiti dan menganggu jirannya. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak berasa aman daripada ganguannya.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga kita itu, bukanlah satu perkara yang sukar. Ini kerana apa yang penting ialah kita hendaklah sentiasa mengamalkan budaya pekerti dan tingkah laku yang mulia.

Oleh yang demikian, sekiranya semua ini diaplikasi dan diamalkan dalam kehidupan berjiran. Maka in sya Allah, kita akan dapat mencapai nikmat kehidupan yang harmoni, aman damai, bahagia dan bersatu padu. Akhirnya, marilah kita sama-sama berusaha membina kehidupan berjiran mengikut ajaran dan syiar Islam. Mudah-mudahan dengan yang demikian, ia dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan secara. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah An-Nisaa’ ayat 36 tafsirnya:

“Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan suatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang-orang musafir yang terlantar dalam perjalanannya (yang terputus perbelanjaannya) dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”

Attachments