Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

PERLINDUNGAN DAN KESEJAHTERAAN GOLONGAN ORANG KELAINAN UPAYA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama Islam adalah agama rahmat merentasi dan melangkaui batas keturunan, warna kulit, bangsa mahupun kedudukan. Agama Islam yang kita anuti ini tidak pernah membezakan antara yang kaya dengan yang miskin dan tidak pernah menyisihkan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna ataupun yang dilahirkan dengan kelainan upaya.

Kerana itu, sehebat mana pun seseorang itu sama ada dari segi pangkat, keturunan ataupun dari segi paras rupanya, namun ia bukanlah menjadi kayu pengukur dan penilaian utama disisi Allah Subhanahu Wata'ala melainkan hati yang ikhlas dan ketaqwaan kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Di negara kita Brunei Darussalam, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penguatkuasaan perintah orang kurang upaya 2021 dan perintah akta pencen umur tua dan kurang upaya (pindaan) 2021.

Sesungguhnya peruntukan undang-undang itu merupakan satu tanda rasa penting bagi golongan OKU di Negara Brunei Darussalam di mana kesejahteraan dan perlindungan OKU telah diberi keutamaan yang tinggi dalam agenda kebangsaan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita selaku masyarakat seharusnya lebih impati ataupun memahami mengenai cabaran yang berkaitan dengan OKU, ini memandangkan setiap individu itu memainkan peranan penting dalam memastikan golongan OKU dikalangan sejahtera menyeluruh.

Justeru, golongan OKU ini hendaklah difahami, dibantu dan dibimbing supaya mereka berasa dikasihi, derhakai dan tidak berasa disisihkan oleh masyarakat agar mereka dapat menjalani dan meneruskan kehidupan ini dengan lebih baik dan lebih sejahtera. Daripada Abdullah bin Amru Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang mengasihi itu akan dikasihi oleh yang Maha Pengasih, oleh kerana itu, kasihilah siapa yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang ada dilangit. (Hadis Riwayat Imam Termizi)

Selain itu, sebarang stigma mahupun sangkaan buruk terhadap golongan OKU di kalangan masyarakat kita perlu dikikis kerana kita harus menyedari bahawa golongan OKU juga berkeupayaan untuk menimba ilmu dan hidup berdikari dalam komuniti.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bulan Disember adalah bulan bagi memperingati golongan kelainan upaya bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam malahan juga bagi memperingati golongan OKU di seluruh dunia.

Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang senantiasa mengelinga seluruh lapisan rakyatnya apatah lagi terhadap golongan OKU. Justeru, pada setiap 3 Disember, kita di Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Antarabangsa orang kelainan upaya sebagai tanda penghargaan di atas inisiatif-inisiatif dan pencapaian OKU dalam perkembangan serta penglibatan dan sumbangan mereka dalam masyarakat dan juga negara.

Selain itu, sambutan ini juga diadakan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap cabaran-cabaran dalam kehidupan yang dihadapi oleh golongan OKU disamping memperingatkan kita bahawa mereka juga adalah elemen penting dalam perkembangan masyarakat dan negara. Tema bagi Sambutan Hari Antarabangsa orang kelainan upaya pada tahun ini adalah “Kepimpinan Dan Penyertaan Orang Kurang Upaya (OKU) Ke Arah Dunia Pasca COVID-19 Yang Eksklusif, Boleh Diakses dan Mampan.”

Semoga dengan adanya Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya ini, ia dapat memberikan pencerahan dan kesedaran kepada masyarakat umum mengenai tanggungjawab kita dalam menyantuni setiap golongan OKU di mana saja mereka berada terutamanya di Negara Brunei Darussalam. Disamping itu, marilah kita senantiasa memupuk rasa syukur di dalam jiwa dan sanubari kita atas segala nikmat yang telah Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan kepada kita semua.

Surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya): Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmatKu) tentu Aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azabKu sangat keras.”

Attachments