Muslimin
yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala
dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya.
Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah
orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa
mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia
dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Aga kita menuntut umatnya
untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan ibadah dan amal kebajikan.
Sesungguhnya orang yang istiqamah dalam beribadah, beramal kebajikan, berakhlak
mulia dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi laranganNya
dijanjikan dengan pelbagai ganjaran oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah
Subhanahu Wata'ala dalam surah Fusilat ayat 30 tafsirnya:
“Sesungguhnya orang-orang
yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian maka
malaikat akan turun kepada mereka (sambil berkata:) Janganlah kamu takut dan
janganlah kamu berdukacita, serta bergembiralah dengan syurga yang telah
dijanjikan kepada kamu.”
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Terdapat beberapa
pengajaran yang terkandung dari ayat Al-Qur’an tersebut berhubung dengan orang
yang istiqamah dalam amalannya, antaranya ialah:
Pertama: Seseorang yang istiqamah
dalam beriman dan dalam amal ibadatnya akan selalu didatangi oleh para malaikat
dan ia merupakan satu keuntungan kepada diri orang tersebut disebabkan
kedatangan malaikat itu membawa rahmat kepadanya.
Kedua: Seseorang yang istiqamah,
tidak mudah berasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya,
kukuh pendirian dan besar harapannya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketiga: Orang yang istiqamah tidak
mudah berasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia tahu bahawa
semua itu adalah memang milik Allah Subhanahu Wata'ala.
Keempat: Orang yang istiqamah juga
akan mendapat balas syurga yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Oleh itu, apa yang kita
amalkan dan kerjakan di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu bersama keluarga di
rumah sama ada fardhu mahupun yang sunat seperti mengerjakan sembahyang fardhu
berjemaah, sembahyang-sembahyang sunat, bertadarus, berzikir, berdoa,
qiamulail, bersedekah dan sebagainya, semua itu hendaklah diteruskan dan
diamalkan di bulan-bulan yang lain untuk menjadi pembakar semangat supaya kita
terus berusaha meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu
Wata'ala.
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Ramadhan yang baru saja
berlalu, telah mendidik kita untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan
beriman dengan terus istiqamah melakukan segala amal kebajikan di bulan-bulan
lain dan bukan melakukannya secara berkala atau bermusim. Sesungguhnya sifat istiqamah
itu merupakan sifat terpuji dan sangat dituntut oleh Allah Subhanahu Wata'ala
serta ia termasuk dalam sifat-sifat Islam. Perkara ini telah disebut dalam
sebuah hadis.
Daripada Sufyan bin
Abdullah Tsaqofi Radiallahu Anhu, aku berkata, “Ya Rasulullah! Ucapkanlah
kepadaku sesuatu perkataan mengenai Islam, (di mana) aku tidak bertanyakan
kepada seseorang pun melainkan kepadamu. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wassallam: “Ucapkanlah! Aku beriman dengan Allah dan kemudian hendaklah kamu
beristiqamah denganNya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Penerapan sifat istiqamah
ini dalam diri setiap orang beriman menandakan kita itu orang yang taat kepada
perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Perlu diketahui, bahawa istiqamah itu
bermaksud kekalkanlah atau tetaplah dan teguhkanlah dirimu dengan melakukan
amalan-amalan ketaatan dan berhenti dari melakukan perbuatan-perbuatan yang
bertentangan dengan syarak. Justeru sayugianya kita sama-sama berusaha dalam
mempertingkatkan sifat istiqamah iaitu istiqamah hati untuk terus berzikir,
membaca Al-Qur’an dan lain-lain amalan serta istiqamah dalam menjaga lidah
sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin
Malik Radiallahu Anhu daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:
Tidak akan beristiqamah iman seorang hamba hinggalah istiqamah hatinya dan
tidak akan beristiqamah hatinya hinggalah istiqamah lidahnya.
Akhirnya, memandangkan
istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang
sangat banyak, maka beristiqamahlah dalam setiap amal ibadah dan amalan yang
berkebajikan. Mudah-mudahan dalam kita beristiqamah itu akan dapat membentuk
diri kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu
Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Ali-Imran ayatt 133
tafsirnya:
“Dan bersegeralah kamu
(mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu) kepada keampunan daripada Tuhan
kamu, dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk
orang-orang yang bertaqwa.”