Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

SEDEKAH AMALAN TERPUJI

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Huud ayat 6 tafsirnya:

“Dan tidak ada satu pun makhluk yang melata di bumi melainkan Allah yang menjamin rezekinya dan mengetahui tempat menetap dan tempat penyimpanannya. Semuanya itu tertulis di dalam kitab yang nyata (luh mahfuz).”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Rezeki adalah antara perkara yang menjadi rahsia Allah Subhanahu Wata'ala. Tidak ada seseorang pun di dunia yang fana ini mengetahui tentang rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya sama ada banyak ataupun sedikit. Namun, apa yang pasti ialah setiap makhluk yang hidup di atas muka bumi ini telah dijamin rezekinya oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya rezeki ini tidak hanya menjurus pada wang ringgit semata-mata tetapi pengertiannya amat luas sekali dan setiap manusia itu dikurniakan rezeki dengan bentuk yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Perlu diketahui, bahawa sihat tubuh badan itu adalah rezeki, mempunyai keluarga yang bahagia itu rezeki, dikurniakan anak itu juga rezeki, mempunyai tempat untuk berteduh itu rezeki, dikelilingi oleh orang yang baik-baik itu juga adalah satu rezeki.

Hakikatnya Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan kita semua orang yang kaya dengan rezeki yang tersendiri, namun terkadang kita sendiri seakan-akan tidak nampak dan kurang menyedari. Ini kerana kita selalu merasakan bahawa rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit dan material sahaja.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Apabila Allah Subhanahu Wata'ala memberi kita harta dan rezeki yang lebih, ia bukanlah untuk kita bermegah-megah dan menyuruh berbelanja, akan tetapi untuk kita lebih memberi. Ini kerana dalam setiap rezeki atau harta yang kita perolehi itu terdapat juga hak orang lain di dalamnya.

Rezeki harta yang kita perolehi bukan hanya digunakan untuk kepentingan diri kita sendiri akan tetapi ia juga boleh dimanfaatkan untuk diinfakkan ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala iaitu dengan cara bersedekah, menderma, mengeluarkan zakat, berwakaf dan seumpamanya.

Dalam agama Islam, kita amat digalakkan untuk bersedekah dan bantu-membantu antara satu sama lain. Anjuran membelanjakan harta dijalan Allah Subhanahu Wata'ala ada dijelaskan dalam Al-Qur’an sebagaimana firmannya dalam surah Al-Munafiqun ayat 10 tafsirnya:

“Dan belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang kami kurniakan kepada kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu lalu dia pun berkata. “Ya Tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau tangguhkan kematianku hingga beberapa waktu lagi supaya aku dapat bersedekah dan aku termasuk dalam golongan orang-orang soleh.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama kita mengalakkan umatnya untuk sentiasa bersedekah. Membiasakan diri dengan bersedekah adalah kunci utama dipeluaskan rezeki oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Ini kerana semakin banyak wang, harta, ilmu ataupun khidmat yang disedekahkan maka akan bertambahlah rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita.

Sesungguhnya pahala dan keutamaan bersedekah itu sangat besar dan banyak. Ini jelas terbukti dengan banyaknya dalil dari Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali tiga hal, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakan kedua orang tuanya. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Bersedekah bukanlah suatu amalan yang boleh dipaksakan. Oleh itu, cukuplah kalau kita bersedekah dengan sesuatu yang mudah biarpun nilai atau kadarnya sedikit, bahkan jangan sekali-kali barang atau nilai yang sedikit itu menghalang kita untuk bersedekah. Ini kerana biarpun sedikit ia tetap bernilai disisi Allah Subhanahu Wata'ala.

Ketahuilah, bahawa sedekah itu mencukupi pelbagai bentuk bantuan, pertolongan dan sesuatu yang mengembirakan atau yang kita berikan kepada saudara-mara, rakan-taulan atau sesiapa sahaja. Sesungguhnya senyuman yang mengembirakan orang lain pun dianggap sebagai satu sedekah, menghalalkan atau melepaskan hutang adalah sedekah, setiap perkataan yang baik adalah sedekah, membuang sesuatu yang berbahaya dijalan adalah sedekah, setiap amalan dan perbuatan makruf juga adalah sedekah.

Ingatlah wahai kaum muslimin, inilah keuntungan bagi orang-orang yang bersedekah. Oleh itu, orang-orang yang enggan bersedekah, yang takut atau tidak mahu hartanya berkurang, mereka sebenarnya berada dalam kerugian yang bukan sedikit tetapi sangatlah besar.

Ini kerana dengan bersedekah kita boleh menikmati ganjaran yang begitu banyak dengan mudah dan berlipat ganda dari apa yang telah kita keluarkan, maka rebutlah peluang keemasan ini. Sesungguhnya bersedekah itu umpama suatu pelaburan yang tidak akan mengalami kerugian walau sedikitpun, bahkan ia adalah sangat menguntungkan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, pada ketika ini Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah dibukakan kepada orang ramai mulai 14 Mac 2022 yang lalu hingga 13 Disember 2022.

Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) ini memberi peluang kepada orang ramai khususnya umat Islam di negara ini bagi menginfakkan dan membelanjakan harta dengan niat sebagai ibadah dan melipat gandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya pembinaan masjid merupakan satu ibadah yang besar pahalanya. Justeru, segala sumbangan membiayai dan membina bangunan masjid merupakan satu pelaburan amal atau saham akhirat. Perkara ini selaras dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Daripada Jabir bin Abdullah Radiallahu Anhuma, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Siapa yang membina masjid kerana Allah sekalipun hanya seperti sarang burung atau lebih kecil maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga. (Hadis Riwayat Imam Ibni Majah)

Akhirnya, mudah-mudahan segala yang kita sedekahkan dan infakkan dengan tulus ikhlas diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mudah-mudahan dengan yang demikian kita akan mendapat keredhaan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Baqarah ayat 261 tafsirnya:

“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tinggi pula mengandungi seratus biji. Dan Allah akan mengandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnianya) lagi Maha Mengetahui.”​


Attachments