Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

IBADAH KORBAN: MENDIDIK KELUHURAN JIWA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sekarang kita telahpun berada di bulan Zulhijjah, ini bererti tidak lama lagi kita akan meraikan Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban. Pada hari tersebut, umat Islam disunatkan untuk mendirikan sembahyang sunat Aidiladha dan seterusnya melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau atau kambing bagi yang berkemampuan pada waktu yang tertentu.

Sesungguhnya ibadah korban itu boleh berperanan sebagai platform bagi seseorang menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya. Di samping itu juga, ibadah korban merupakan sebahagian dari syiar agama yang mesti kita agungkan dan mesti kita hormati.

Allah Subhanahu Wata'ala menjelaskan di dalam Al-Qur’an bahawa mengagungkan dan menghormati syiar agama itu adalah tanda ketaqwaan hati orang-orang yang beriman. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Hajj ayat 32 tafsirnya:

“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar Allah (seperti ibadah korban) maka sesungguhnya perbuatan itu adalah terbit daripada ketaqwaan hati (kepada Allah).”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Hukum melakukan ibadah korban itu adalah sunat muakadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Oleh yang demikian, bagi orang-orang yang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban maka peluang yang tidak ternilai dan hanya datang beberapa hari dalam setahun di bulan Zulhijjah itu tidak wajar diabaikan dan dilepaskan begitu sahaja.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda ada menyebut tentang fadhilat ataupun kelebihan berkorban, antaranya ialah darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Aisyah Radiallahu Anha, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduknya, bulunya dan kukunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu. (Hadis Riwayat Imam Termizi)

Sesungguhnya fadhilat berkorban sebagaimana disebutkan di atas sudah mengambarkan betapa beruntungnya orang-orang yang berkorban, kerana harta yang dibelanjakan untuk melaksanakan ibadah korban itu akan mendapat pulangan yang besar berupa kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

Hikmah yang terdapat di dalam perlaksanaan ibadah korban itu bukan hanya dicapai oleh pihak yang berkorban sahaja, tetapi juga oleh pihak yang diagih-agihkan daging korban tersebut, antaranya golongan fakir dan miskin. Ketika inilah mereka yang berkorban berpeluang mengembirakan golongan ini dengan mengongsikan nikmat dan rezeki semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Jelaslah kepada kita, ibadah korban yang dilaksanakan itu, selain ia sebagai satu ibadah yang menghasilkan ganjaran pahala, ia adalah medan tarbiah dalam membentuk sifat mahmudah dan nilai-nilai Islam yang luhur dalam diri seseorang. Antara sikap terpuji yang dapat dibentuk melalui ibadah korban ini ialah:

Pertama: Menanam sifat ikhlas dalam melaksanakan apa jua ibadah yang diperintahkan oleh syariat Islam.

Kedua: Menyemai sikat sentiasa bersyukur kerana salah satu hikmah pensyariatan ibadah korban itu adalah melahirkan kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala terhadap nikmat hidup yang telah dikurniakanNya.

Ketiga: Mengasuh diri dengan sikap bersabar terhadap apa jua ujian yang ditempatkan dalam kehidupan.

Keempat: Menyemai sikap belas kasihan dan tolong-menolong terhadap golongan yang tidak berkemampuan. Sesungguhnya pensyariatan ibadah korban itu boleh memupuk sikat pemedulian terhadap masyarakat terutamanya kepada fakir dan miskin.

Akhirnya, marilah kita sama-sama meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan ibadah korban terutama bagi mereka yang berkemampuan. Mudah-mudahan dengan ibadah korban yang kita lakukan itu rezeki kita semakin bertambah berkat serta dijauhi dari segala musibah dan malapetaka. Semoga segala amal kebajikan yang kita lakukan atas dasar keikhlasan dan ketakwaan itu diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat ganjaran pahala berlipat ganda. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Hajj ayat 37 tafsirnya:

“Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepadaNya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah dia memudahkannya untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah atas hidayatNya kepada kamu. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Attachments