Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENJAGA SILATURAHIM

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 1 tafsirnya:

“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam Alaihissallam), Dia (Allah) menciptakan daripada pasangannya (Hawa), Dia (Allah) mengembang-biakkan daripada kedua-duanya (zuriat keturunan) laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta serta (peliharalah) hubungan silaturrahim (kaum kerabat). Sesungguhnya Allah adalah Maha Menguasai (Memerhati) kamu.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesempurnaan dan kemantapan iman seseorang itu didukung oleh banyak faktor, bukan setakat beriman dengan rukun iman yang enam bahkan hubungan sesama insan juga menjadi kayu pengukurnya. Justeru, agama kita menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan silaturahim. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan tetamunya, dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hendaklah ia berkata baik atau diam. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Silaturahim ialah jalanan ataupun ikatan perhubungan yang dibina secara bersama-sama antara sesama keluarga, kaum kerabat, rakan, jiran tetangga dan seumpamanya.

Adapun mengeratkan silaturahim itu ialah berbuat baik kepada sesama manusia, memberi pertolongan jika mereka memerlukan, bersikap lemah lembut, nasihat-menasihati dan menjaga perasaan mereka. Dalam hal ini, mengeratkan hubungan silaturahim itu adalah perlu diutamakan kepada kaum kerabat ataupun yang ada hubungan kekeluargaan.

Perlu diingat, bahawa mengeratkan hubungan silaturahim sesama saudara itu hukumnya adalah wajib. Manakala memutuskan hubungan silaturahim pula hukumnya adalah haram. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menyatakan bahawa memutuskan silaturahim itu adalah antara sebab kenapa disegerakan azab seseorang itu di dunia sebelum tibanya hari akhirat. Dalam sebuah hadis yang diriwayat oleh Imam Termizi, daripada Abu Bakrat Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda bermaksud: Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada perbuatan zalim dan memutus silaturahim.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama kita menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga hubungan silaturahim, kerana akibat memutuskan silaturahim itu amat besar risikonya bukan setakat di dunia sahaja bahkan juga di akhirat kelak. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Jubair bin Mut’eim Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.

Pada kelazimannya, terputusnya silaturahim itu berpunca dari pertengkaran ataupun perselisihan yang disebabkan oleh salah faham, harta benda, hutang-piutang, hasutan, fitnah dan seumpamanya.

Hatta perkelahian antara sesama anak atau jiran tetangga pun boleh menyebabkan terputusnya ikatan silaturahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi jika kedua-duanya tidak mahu mengalah untuk memohon maaf sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan syirik untuk menyakiti orang dibencinya.

Permusuhan dan pergisiran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikan kedua pihak yang bermusuhan ini.

Perlu diingat, bahawa tanggungjawab untuk membina semula silaturahim yang terputus, bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan. Tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini juga boleh memainkan peranan yang penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambung semula silaturahim yang terputus.

Oleh yang demikan, tanganilah masalah keluarga dengan perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran dan keinsafan, apatah lagi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menyebutkan bahawa orang-orang yang tidak mahu berdamai itu akan ditangguhkan keampunannya oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis. Setiap orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun akan diampuni, kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya. Lalu dikatakan: “Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka mahu berdamai. Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka berdamai. Tangguhkanlah kedua-duanya sampai mereka berdamai.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Adalah menjadi kewajipan kita untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh, hubungan silaturahim itu menjadi renggang atau retak.

Dalam menjaga hubungan silaturahim, ada beberapa cara yang boleh kita lakukan antaranya seperti sering memberi dan menjawab salam atau bertegur sapa, menghadiri undangan atau jemputan, menghulurkan bantuan dan pertolongan sama ada dengan tenaga ataupun wang ringgit, kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, menziarahi ketika orang sakit dan menghadiri pengebumian jenazah dan seumpamanya.

Pada masa kini, pengunaan media baharu seperti media masa dan media sosial adalah sangat digemari dan menjadi kemudahan untuk berhubung dan berkomunikasi. Pengunaan kemudahan-kemudahan tersebut bolehlah dimanfaatkan oleh kita semua dengan sebaik-baiknya terutama dalam mengeratkan hubungan silaturahim. Dengan yang demikian, hubungan yang jauh boleh menjadi dekat dan yang renggang menjaga rapat.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menyatakan bahawa di antara hikmah disebalik menghubungkan silaturahim itu adalah dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturahim). (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Akhirnya, marilah kita bersama-sama berusaha dalam menjaga dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Jika berlaku perselisihan, maka sebaiknya kita berusahalah untuk mencari jalan penyelesaian dan jalan perdamaian kerana semua orang mukmin itu adalah bersaudara. Sama-samalah kita berdoa semoga hubungan silaturahim kita akan sentiasa terjalin serta terpelihara, dan kita semua mendapat redha Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Hujurat ayat 10 tafsirnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Attachments