Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA YANG MULIA DATO JAMEEL SULAIMAN BONDAGJY, PENGERUSI SYARIKAT NOZOLY DI ARAB SAUDI

18 April 2024

MENTERI HAL EHWAL UGAMA TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA YANG MULIA DATO JAMEEL SULAIMAN BONDAGJY, PENGERUSI SYARIKAT NOZOLY DI ARAB SAUDI

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Berakas, Khamis, 08 Syawal 1445 bersamaan 18 April 2024–Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menerima kunjungan hormat daripada Yang Mulia Dato Jameel Sulaiman Bondagjy, Pengerusi Syarikat Nozoly di Arab Saudi pada petang tadi bertempat di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.

Syarikat Nozoly telah lama menjalin hubungan kerjasama dengan Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam selaku penyedia kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan Haji di Masyair (Arafah dan Mina).  Disebabkan perubahan sistem  pengurusan dan penyediaan perkhidmatan Haji d Arab Saudi, pada tahun ini Syarikat Nozoly bergabung dengan Syarikat Rawaf Mina, iaitu Syarikat Penyedia Perkhidmatan Haji yang dipilih oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk menyediakan perkhidmatan Haji bagi jemaah Haji Negara Brunei Darussalam di Madinah, Makkah dan Masyair (Arafah dan Mina) bagi musim Haji Tahun 1445H /2024M.

Antara lain tujuan Yang Mulia Dato Jameel Sulaiman Bondagjy mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam adalah untuk menjelaskan mengenai pembaharuan-pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh Syarikat Rawaf Mina bersama Syarikat Nozoly pada musim Haji nanti seperti penyediaan sofa dan ruang penyimpanan barang dalam khemah-khemah jemaah Haji Negara Brunei Darussalam di Arafah dan Mina.  Selain itu, beliau juga turut mengongsikan cabaran-cabaran dan perubahan-perubahan yang bakal dihadapi pada musim Haji akan datang ini dan seterusnya menyakinkan Kementerian Hal Ehwal Ugama bahawa Syarikat Rawaf Mina dan Nozoly akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah Haji Negara Brunei Darussalam pada musim Haji nanti.

Hadir sama, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Pengarah Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohammad. 


Foto: i-Ready BPAAM