Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

10 KOTAK SAYAP AYAM DAN 1 KOTAK TONGKENG AYAM TANPA PERMIT IMPORT HALAL BERJAYA DIRAMPAS

27 April 2024

10 KOTAK SAYAP AYAM DAN 1 KOTAK TONGKENG AYAM TANPA PERMIT IMPORT HALAL BERJAYA DIRAMPAS

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Salambigar, Sabtu, 17 Syawal 1445 bersamaan 27 April 2024-Satu operasi bersepadu telah dijalankan oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 25 April 2024 kira-kira pada jam 8.15 malam di kawasan Perindustrian Salambigar, Kampong Salambigar. 

Hasil daripada operasi tersebut, telah menahan sebuah kenderaan Toyota Kijang dan berjaya merampas sebanyak 10 kotak sayap ayam dan 1 kotak tongkeng ayam yang membawa jumlah berat keseluruhannya 110 Kilogram.  Kes tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang mengenainya.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin mengingatkan orang ramai bahawa membawa masuk daging mentah halal ke Negara Brunei Darussalam hendaklah mempunyai Permit Import Halal daripada Majlis Ugama Islam Brunei di samping memenuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan oleh agensi-agensi lain yang berkaitan dengan pengimpotan daging halal.  Perkara ini adalah sangat mustahak dan perlu dipatuhi agar daging yang dibawa masuk dan dijual di Negara ini khususnya, kepada orang Islam adalah terjamin kehalalannya.

Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas maklumat yang diterima berhubung perkara tersebut.  Orang ramai yang ingin membuat pengaduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal, bolehlah berhubung terus ke Jabatan Hal Ehwal Syar'iah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal di talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan di Negara ini sentiasa dipatuhi.

 

​Foto: JHES