Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SAMBUTAN MEMPERINGATI PENGGUNAAN BANGUNAN MASJID JUBLI PERAK SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH KAMPONG JANGSAK KE 25 TAHUN DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

26 April 2024

MAJLIS SAMBUTAN MEMPERINGATI PENGGUNAAN BANGUNAN MASJID JUBLI PERAK SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH KAMPONG JANGSAK KE 25 TAHUN DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Jangsak, Hari Jumaat, 17 Syawal 1445 bersamaan 26 April 2024-Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampong Jangsak, malam tadi telah menganjurkan Majlis Sambutan Memperingati Penggunaan Bangunan Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kampong Jangsak Ke 25 Tahun dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis dianjurkan oleh ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dimajlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dalam ucapannya menyebut bahawa “Semua masjid, surau dan balai ibadat yang ada itu selayaknya disyukuri oleh penduduk dalam kawasan tadahan atau qaryahnya. Iaitu dengan berpegang kepada konsep bersyukur yang sebenarnya untuk tidak sahaja meraih pahala bahkan untuk memperolehi nilai tambah yang dijanjikan oleh Allah dengan mensyukuri keberadaan masjid secara yang sedemikian itu.

Sebaliknya bagi mengelakkan kemurkaan Allah apabila keberadaan masjid yang sayugia disyukuri namun sebaliknya dikufuri. Mengkufuri keberadaannya itu ialah secara tidak mengambil peduli terhadapnya lalu tidak merasakan atau memberikan respon dan sikap turut sama bertanggung jawab menjayakan tujuan keberadaannya bahkan sebaliknya mengabaikan, mensia-siakan apatah lagi jika sampai menyalah gunakannya.

Iaitu mensyukuri untuk mendapat nilai tambah ke atas masjid dalam makna kesempurnaan bangunan dan yang berkaitan dengan pemeliharaan bangunannya dan pemeliharaan alat serta harta masjid dan seterusnya keberkesanan segala kegiatannya sehingga dirasakan oleh penduduk-penduduk qaryahnya terutama sekali dengan kegiatan yang berorintasikan pemedulian, pengalingahan yang tidak berjangka waktu, tidak bermusim, terhadap kalangan penduduk yang memerlukan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menambah semua itu boleh dilakukan melalui kegiatan yang terancang. Iaitu berupa kegiatan atau aktiviti yang melibatkan unsur-unsur yang sedia ada seperti Jawatankuasa Takmir Masjid, Kumpulan Belia – Beliawanis Masjid dan Kumpulan Muslimah Masjid."

Majlis tersebut diadakan adalah bagi mengenang jasa mantan-mantan dan bilal yang pernah bertugas di Masjid tersebut, selain merealisasikan masjid berkenaan sebagai tempat pusat ilmu, dengan hasrat agar ia akan berfungsi sebagai pusat pertemuan masyarakat dan penduduk.

Sementara itu, untuk menjadikan masjid ini tempat beribadah yang kondusif, selesa dan menarik minat penduduk dan pengunjungnya dan rasa kekitaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir masjid, penduduk kampung dan sekitarnya dalam sama-sama mengimarahkan masjid.