Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-132 DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

27 April 2024

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-132 DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Meragang, Sabtu, 18 Syawal 1445 bersamaan 27 April 2024–Majlis Perhimpunan Malam Munajat diadakan pada malam tadi secara fizikal dengan tumpuan utama di Masjid Az-Zakireen, Meragang.  Majlis dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Kali Ke-132 dengan kerjasama Kementerian Pembangunan.

Hadir sama di Majlis Perhimpunan Munajat malam tadi ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.  Turut hadir, warga kerja dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pembangunan.  Juga menyemarakkan, Ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal di Masjid Az-Zakireen, Meragang mahupun secara maya dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadah di seluruh negara serta dari rumah-rumah persendirian.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abd Halim bin Haji Jainih@Zaini, Qari dari Kementerian Pembangunan.  Diteruskan dengan Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Omar, Pengarah Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Majlis Perhimpunan Malam Munajat diserikan lagi dengan Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Aziman bin Haji Awang Zaman, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Tazkirah antara lain, menjelaskan bahawa “Zikir merupakan salah satu bentuk ibadah yang sangat dianjurkan dan memiliki nilai yang tinggi.  Dalam banyak ayat suci Al-Quran, Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengajak umat manusia untuk berzikir dan mengingat-Nya secara terus menerus.  Manfaat zikir juga menjadi cara untuk memperkuat hubungan seseorang dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan dapat membantu seseorang untuk mendekatkan diri kepada-Nya.  Selain itu, zikir juga dianggap sebagai bentuk pengingat diri untuk selalu mengingat Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam segala aspek kehidupan, baik dalam keadaan senang mahupun susuh, suka mahupun duka.  Dalam prakteknya, zikir dilakukan dengan mengucapkan lafaz atau kalimat-kalimat tertentu secara terus menerus dengan niat dan kesedaran penuh.  Beberapa contoh zikir yang sering dilakukan antaranya, Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar, La ilaha illa Allah, dan Astaghfirullah."

Sejurus itu, bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan.  Diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Nurhidayatullah bin Haji Zulkifli, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Az-Zakireen, Meragang, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

​Foto: PDI