BERAKAS, 07hb. Rabiulakhir 1442H bersamaan
23hb. November 2020M:Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara
Brunei Darussalam ingin memaklumkan mengenai dengan pendirian Negara Brunei
Darussalam berhubung dengan pembukaan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi untuk
Jemaah dari luar negara berkenaan dalam situasi pandemik wabak COVID-19 yang
masih melanda dunia pada ketika ini.
Majlis Ugama Islam dalam mesyuaratnya kali ke-enam belas (XVI)
Tahun 1442H/2020M yang berlangsung pada hari Sabtu, 21hb Rabiulawal, 1442
bersamaan 7hb. November, 2020 telah membincangkan perkara mengenai pembukaan
umrah oleh Kerajaan Arab Saudi untuk jemaah dari luar negara berkenaan yang
mula dibukakan pada 1 November 2020.
Dalam menimbangkan perkara tersebut Majlis Ugama Islam adalah
berpegang sebagaimana ketetapannya sebelum ini berhubung dengan penghantaran
Jemaah Haji bagi Tahun 1441/2020 dalam situasi pandemik Wabak COVID-19.
Selain berpandukan kepada Fatwa Mufti Kerajaan melalui Siri Fatwa
(14/2020) itu, Majlis turut berpandu kepada penilaian pihak Kementerian
Kesihatan yang mendapati situasi semasa penularan wabak COVID-19 di peringkat
global yang masih merekodkan kes-kes positif jangkitan virus COVID-19. Dengan
situasi tersebut, masih ada kekhuatiran berhubung keadaan penularan pandemik
COVID-19 yang melanda dunia dan kebanyakan negara pada masa ini.
Dengan berasaskan kepada ketetapan hukum syara’ serta penilaian
daripada pihak berkuasa kesihatan, maka Majlis Ugama Islam dengan ini
memutuskan belum dapat membenarkan bagi rakyat dan penduduk di negara ini untuk
melaksanakan ibadah umrah buat sementara waktu. Larangan ini termasuklah kepada
rakyat Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di luar negara.